Posted by: whereha on: 18 Jun, 2008

Ada yang menolak-nolak tubuhku dari belakang
Leherku terasa bagai ditarik-tarik ke depan
Kadangkala nafasku sesak
Bila dadaku tersekat-sekat
Bergerak perlahan merencak wacana wahyu
Kadangkala terhumban ke lohong nafsu
Aku dapat menghidu bau yang busuk
Sesekali terasa lemas hidung ini
Tapi sesekali bau yang busuk ada segarnya
Entahlah…hairan pula rasanya
Jalan kita selalunya tak rata
Melambung-lambung dan terhoyong-hayang
Kepala otak pun melayang-layang
Tekak loya mabuk kepayang
Tak kusangka ada rintangan besar di depanku
Sangat besar bahkan lebih besar dari Himalaya
Kehidupan di kota umpama memampat spring
Makin tangan dimampat makin spring melawan
Sedikit kecuaian spring pasti menendang tangan
Silap haribulan tangan pula yang luka
Sekali parut luka berbekas ia tak mungkin lagi hilang
Malah terus menjadi tatapan dan ingatan kepada empunya badan
Berparut tak semestinya buruk
Teruna berparut kadangkala menjadi pujaan si dara
Tapi selalunya si jelita alah jika terparut
Tafsiran akal sememangnya berbeza-beza
Elok dan buruk jadi siulan
Realiti manusia kota metropolitan
Menilai tak guna garis yang asal
Moden menjadi sasaran
Dikejar moden itu siang dan malam
Dapat moden nak yang lagi moden
Apa ada pada moden?
Aku pun tak faham moden itu
Tak pernah pun aku melihat moden
Hanya biasa terdengar dari mulut-mulut
Dan aku pun tak tanya dari mulut-mulut itu
Cuma aku tertangkap-tangkap dan terdengar-dengar
Di mana saja mereka berbicara tentang moden
Sehingga wujud ‘kolot’ di bibir mereka
Lalu kolot mereka pijak dan mereka tertawakan
Mereka pun sebenarnya tak faham
Apa itu moden dan apa itu kolot?
Mereka mahu moden kerana ramai yang moden
Mereka ejek kolot juga kerana ramai yang moden
Mereka tidak akan moden kalau ramai yang kolot
Dan mereka tidak mahu moden jika ramai yang mahu kolot
Nyata sekali mereka hanya terikut-ikut
Dan mereka bukan memilih sendiri
Bahkan mereka langsung tak reti memilih
Seolah-olah mereka bersekolah
Semuanya telah disukat dan diajar
Andainya tiada pengajar
Mampukah mereka belajar sendiri?
Tidak…kerana orang lain belajar
Maka mereka turut belajar
Mereka sebenarnya hanya terikut-ikut
Kota metropolis
Memang ramai yang terikut-ikut
Selalunya yang terikut-ikut banyak natijah
Banyak bahana dan banyak bencana
Pun begitu tak ramai yang sedar
Kerana mereka terikut-ikut
Bilakah mereka akan memilih sendiri?
Ramai yang memilih jalan hidup sendiri
Tapi selalunya jalan hidup yang sama seperti yang lain
Jalan hidup yang sememangnya telah banyak dijalani
Jalan hidup yang telah banyak wujud di celah kota
whereha.wordpress.com
Komen terbaru