Blues WhereHa

Uniknya Tok Guru!

Posted on: 26 Julai, 2008

Assalamualaikum Warahmatullah…

Malam tadi seperti biasa menonton saya terperap di depan tv semata-mata nak dengar lanjutan hikayat Muqabalah UMNO-PAS. Dan hasil yang saya perolehi seperti video di bawah ini:

Apa yang menariknya ialah betapa di antara ramai di kalangan pimpinan PAS mahu pun UMNO, tiada seorang pun yang pernah saya dengar mengeluarkan kenyataan seperti Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS ini. Jika kita renung sejenak, sudah tentu kenyataan Tok Guru itu kedengaran aneh. Apakah sebenarnya makna Parti Islam SeMalaysia kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini? Berpuluh-puluh tahun berjuang dalam PAS sehingga menjadi pemimpin terkanan, lebih kanan daripada Presiden, tiba-tiba sanggup untuk membubarkan PAS, satu-satunya parti yang mendokong perjuangan Islam di tanahair kita ini. Pelik bukan? Seolah-olah PAS bukan maksud hakiki dalam perjuangan Tok Guru. Apa sebenarnya yang beliau mahukan?

Huh…politik Tok Guru memang aneh. Sebabnya, politik beliau tak ada ciri-ciri seperti ‘politik’ ahli politik. Dari mana agaknya beliau belajar politik seperti ini? Memang idea yang lahir dari minda dan pemikirannya amat-amat berbeza.

Jangan pula salah sangka. Pada saya, kenyataan Tok Guru memperlihatkan satu tawaran terhebat buat UMNO. Bila lagi peluang unutk UMNO membubarkan diri? Walaupun dulu pernah dibubarkan, tapi diganti semula dengan UMNO baru. Lama atau baru, apa bezanya? Orangnya dan mainannya tetap tak berubah. Malah lebih parah. Di satu sudut, mungkin PAS juga terasa ‘lain’ dengan kenyataan seperti itu. Namun begitu, saya berpandangan saf kepimpinan PAS dan para ahlinya mampu menerima apa yang cuba disampaikan oleh Tok Guru. Maksud beliau sangat dalam dan paling tepat jika ingin dikaitkan dengan Muqabalah yang diwar-warkan untuk mengukuhkan perpaduan dan hala tuju umat Islam di negara ini. Korbankan parti yang ada dan bersatu semula dalam satu parti baru yang berakidah dan bersyariatkan Islam. Jika ahli UMNO dan PAS dapat bergabung di bawah satu wadah yang berjuang dengan berpaksikan Islam, maka PAS sendiri sudah tidak diperlukan lagi. Itu rasionalnya Tok Guru! Ini saya setuju.

Soalnya, mampukah pimpinan UMNO bersetuju untuk bertindak membubarkan parti agung yang didakwa mewakili perjuangan Melayu itu? Kalau demi Islam mereka terpaksa membubarkan UMNO, saya tidak mampu untuk mengiakan kesediaan dan keterbukaan mereka untuk menyepakati UMNO dibubarkan. Sukar untuk minda saya membayangkan setiap bahagian UMNO berkumpul dan mengisytiharkan mereka menyokong sepenuhnya tindakan Pak Lah membubarkan UMNO. Tak mungkin ini akan terjadi…sebab nak turunkan Pak Lah pun mereka tak sampai hati…

Namun harus diingat, kuasa dalam genggaman Allah SWT. Harus diingat sebelum Pilihan Raya 12, UMNO mendakwa mereka kukuh. Sebelum kenaikan harga minyak, mereka mendakwa Pakatan Rakyat longgar. Harus diingat juga bahawa UMNO yang terlebih dahulu terhegeh-hegeh menjemput PAS untuk berbincang bersama, walaupun sebelum ini mereka asyik menghentam PAS selumat-lumatnya. Walaupun sebelum ini PAS mereka lagakan di sana-sini. Walaupun sebelum ini PAS mereka dakwa semakin lemah dan hilang sokongan. Nah! Sekarang siapa yang terkapai-kapai hilang pedoman. Mabuk kepayang, sampai musuh dipujuk menjadi kawan? Hentam, hentam jua tapi berbincang pun perlu juga. Keliru sungguh!

Kenyataan Tok Guru kali ini pada saya sangat bernas, sekaligus menonjolkan kematangan ulama dalam menangani karenah politik. Kepentingan Islam melebihi kepentingan PAS. Sudah tentu kenyataan ini sedikit-sebanyak menimbulkan kekhuatiran dan menenggelamkan semangat dan nawaitu UMNO. Dan cakap-cakap untuk berMuqabalah mungkin sedikit pudar dan perlahan di kalangan pimpinannya. Dan kenyataan ini akan menjadi satu kenyataan akhbar yang sangat popular. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini komen Tok Guru semakin mendapat tempat di hati media, baik media perdana, lebih-lebih lagi di media rakyat. Agak menghairankan apabila TV3 kian kerap menyiarkan sebarang kenyataan dan komen Tok Guru terhadap segala macam isu agama yang berbangkit kebelakangan ini. Walaupun kadangkala diprovokasikan, tapi kata-kata hikmah Tok Guru kadangkala dirujuk juga. Tidak pula Pak Lah yang dicari. Mungkin konsep Hadhari kurang sesuai, sehingga Hadhari Pak Lah seolah-olah telah terpinggir ke suatu dimensi yang antah-berantah!

Walau apa sekalipun, saya yakin kenyataan ini akan menjadi pegangan rakyat untuk menilai sejauh mana keterbukaan dan komitmen kedua-dua parti dalam usaha menjaga kepentingan dan masa depan umat Islam tanahair kita. Apakah pula reaksi pimpinan UMNO terhadap kenyataan Tok Guru itu, pastinya tak sabar untuk diikuti.

Pada saya, idea Tok Guru ini memang unik.

1 Response to "Uniknya Tok Guru!"

Assallamualaikum
Izinkan saya menulis beberapa barisan ayat mengenai TGNA menurut keyakinan serta pandangan saya.
Seperti yang umum tahu,negara tercinta kita ini sedang menghadapi satu krisis yang amat kritikal dan kita semua memerlukan seorang Pemimpin yang bijaksana. Tuan Guru Nik Aziz (beliau) adalah pemimpin yang tepat untuk menerajui negara kerana beliau bukan sahaja seorang yang beriman serta bertakwa tetapi seorang yang bijaksana dan tidak ada setandingnya. Insyallah, saya sungguh berharap Ust. Nikabduh dapat menerapkan kriteria kriteria yang ada pada ayahandanya yang tercinta pada dirinya sendiri.
Wassallam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Statistik Blog

  • 23,530 Hits

Kalendar

Julai 2008
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Artikel Terbaik!

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog

%d bloggers like this: