Blues WhereHa

Archive for Ogos 22nd, 2008

Salam pembaca!

Menyoroti solat Jumaat hari ini begitu meletihkan saya. Bukan letih dek kerana terpaksa solat di masjid, tapi dek lantaran kesibukan urusan hari ini yang menyebabkan saya terkejar-kejar ke sana ke mari. Jam di tangan sentiasa dijenguk berkali-kali kerana masa untuk menyudahkan setiap urusan dirasakan begitu suntuk.

Bagi kita warga KL, memang hari Jumaat adalah hari untuk merancang masa seperinci mungkin. Bagi kakitangan kerajaan, mereka telah ditetapkan untuk meninggalkan urusan pejabat tepat jam 12.15 tengahari. Kalau terlebih masa tu, sendiri mau ingatlah. Namun bagi saya sebagai kakitangan swasta, arahan majikan untuk menyelesaikan setiap urusan tidak mengira waktu. Sekalipun tiada tekanan daripada majikan saya, namun saya harus mendahului setiap perancangan beliau agar kerja saya tidak bertimbun dan akhirnya memeningkan kepala.

Sebelum solat Jumaat terpaksa berkejar-kejar mencari gerai atau kedai makan untuk menyantap santapan tengahari. Makan pun tergesa-gesa kerana hendak ke masjid selepas kenyang. Akibat kenyang, mengantuk pula semasa mendengar khutbah. Kalau nak makan selepas solat, kerja yang bertimbun pula sering berteriak kepada saya agar cepat-cepat makan dan pergi siapkan kerja. Haduh…letih sungguh!

Itulah sebabnya saya selalu sampai di masjid untuk solat Jumaat sekitar jam 1.30 tengahari. Dalam keadaan penat dan kadangkala berpeluh, terpaksa pula bersila di tengah-tengah lautan jemaah yang biasanya berkeadaan wangi. Dalam kes ini, saya pula yang berasa tidak selesa kerana takut keadaan diri mengganggu tumpuan jemaah yang lain.

Situasi ini mencetuskan suatu idea di minda saya: alangkah beruntungnya jika hari Jumaat di KL adalah cuti minggu, seperti di Kelantan. Namun, sikap pemimpin Islam di seluruh dunia yang sibuk mengejar keuntungan telah membataskan cetusan idea saya ini. Disebabkan tunduk kepada penganut agama lain menyebabkan hari kebesaran Islam ini dijadikan hari untuk berurusan, manakala hari Ahad sebagai cuti minggu. Ini sangat menyedihkan kerana identiti umat Islam sebenarnya ditenggelamkan secara tidak sedar!

Bila saya pulang ke kampung halaman saya di Kota Bharu, saya merasakan keadaan yang berbeza. Setiap hari Jumaat, saya dapat menziarahi makam almarhum bapa saya, kemudian bersarapan, seterusnya dapat menghadiri kuliah Jumaat Menteri Besar di Medan Ilmu, dapat bersama keluarga ke pasar pagi atau pasar tani, sebelum solat Jumaat sempat mandi terlebih dahulu, dan dapat mengikuti khutbah Jumaat dan solat dalam keadaan yang segar, tidak penat atau mengantuk, makan tengahari dalam keadaan selesa setelah kewajipan berjemaah telah dilaksanakan.

Paling syok dapat melenakan diri sekejap sekitar jam 3.30 petang sehingga berkumandang azan Asar. Selain itu, hari Jumaat juga adalah hari untuk keluarga saya berkumpul.

Inilah kenikmatan cuti hari Jumaat yang tidak dapat saya rasakan di KL. Di minda saya, hanya ada 2 pilihan: kerajaan jadikan Jumaat sebagai cuti minggu atau saya pulang cari makan di kampung!


Statistik Blog

  • 23,691 Hits

Kalendar

Ogos 2008
I S R K J S A
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog