Blues WhereHa

Archive for Ogos 2008

 

Salam kembali…

Telah saya katakan semalam, di saat perang saraf semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen P044 Permatang Pauh, kita akan dapat melihat ujudnya tindakan lebih agresif daripada satu puak, yang kelihatan seakan-akan cuak dengan perkembangan yang berlaku.

Senja tadi, saya kaget seketika tatkala terbaca berita tentang penahanan penulis blog oleh pihak polis di http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=13991. Abu Bakar A. Rashid, atau nama timangannya ‘Bakar Hak’, pemilik blog penarikbeca.blogspot.com, di tahan oleh 4 orang anggota polis di kediamannya, beserta telefon bimbit dan laptop miliknya. Hanifah Maidin, peguam yang mewakili Bakar telah menghubungi polis dan mendapat pengesahan bahawa Bakar ditahan di bawah Akta Hasutan. Nampak gayanya blog penarik beca diberi cuti untuk seketika, atau mungkin akan dibubarkan terus. 

Hmm…nampaknya rakyat bakal dinafikan satu lagi hak untuk bersuara. Ruangan blog yang semenjak kebelakangan ini menjadi platform rakyat untuk menyuarakan pandangan dilihat sebagai satu ancaman kepada kerajaan Barisan Nasional. Wajar juga rasanya kalau mereka rasa tergugat. Di blog ada macam-macam hal.  Video ucapan, gambar-gambar skandal, dan kadangkala bahan-bahan bukti yang didakwa dibocorkan terpampang di laman utama blog-blog. Apatah lagi blog menyediakan perkongsian maklumat yang lebih pantas dan meluas ke serata pelosok negara, bahkan ke medan antarabangsa. Berita baik atau buruk hanya dapat dicungkil melalui hanya sebatang jari. Maka wajar mereka gusar…dan kegusaran itu pasti disebabkan tersebarnya kisah-kisah yang tidak enak didengar di blog-blog.

Kebebasan media di Malaysia belum sampai ke tahap yang seimbang. Contohnya rangkaian berita tv masih lagi kelihatan berat sebelah. Kalau pun pemimpin pembangkang yang kadangkala ke udara hanyalah segelintir, seperti Tuan Guru Dato’ Nik Aziz. Rakaman kenyataan beliau pun kadangkala tak sepenuhnya, hanya bibir bergerak dan dialihsuara dengan ulasan penyampai berita. Radio tak payah cakaplah…langsung tiada. Jika kebebasan melalui penulisan blog juga turut disekat, maka apakah medium bebas yang tinggal buat rakyat bersuara? Adakah rakyat mahu berceramah? Adakah rakyat dibenarkan untuk melontarkan suara di tengah-tengah hiruk pikuk kota atau di ceruk-ceruk jalanan?

Menahan blogger daripada bersuara sebenarnya hanya merugikan Barisan Nasional. Sebabnya, rakyat akan melihat penahanan ini sebagai suatu tindakan yang terdesak untuk mengalih perhatian dan menyekat kebebasan bersuara. Di kala negara sedang fokus pada perlawanan di utara Semenanjung, maklumat-maklumat terkini sangat penting. Lantas peristiwa di atas diragukan objektifnya, lantas tidak menghairankan jika rakyat memandang serong dan menuding jari ke arah Barisan Nasional.

Soalnya, wajarkah rakyat turut dipersalahkan? Rakyat tidak akan menelan bulat-bulat segala isu yang timbul, sebaliknya mereka mengkaji dan berundur kembali ke sejarah lepas. Mereka membuat ramalan dan perbandingan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, melalui apa-apa sumber sekalipun. Rakyat kini berpelajaran dan sudah celik sebundar-bundarnya. Dari itu pimpinan Barisan Nasional juga harus buka mata dan merenung perkara ini dengan sedalam-dalamnya, dan berpatah balik sebelum hari mulai gelap…

 whereha.wordpress.com

Bertemu kembali…

Esok, tanggal 7 Ogos 2008 kira-kira 9 hari lagi sebelum Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P044 Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Peristiwa ini sememangnya telah kita jangkakakan, sementelah sejak kebelakangan ini kita memang asyik menjangkakan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dalam politik negara kita.

Secara mudahnya, tindakan menghadapkan Anwar ke mahkamah hanyalah untuk menyusahkan Anwar dan mengganggu kerancakan kempennya membawa Pakatan Rakyat menuju Putrajaya. Tambahan pula hari Penamaan Calon sudah tidak berapa jauh saatnya.

Secara simboliknya, tindakan ini dilihat mahu membenam Anwar daripada bertanding, di samping mengalihkan perhatian rakyat dan melekakan jentera Pakatan Rakyat daripada kesibukan di Post P044. Seharusnya percaturan terperinci dan strategik telah dipersiapkan untuk menghadapi situasi sebegini oleh Pakatan Rakyat, memandangkan jangkaan untuk menghadapkan Anwar ke mahkamah sebelum penamaan calon, telah lama disebut-sebut. Jentera Pakatan Rakyat tidak akan dilalaikan oleh permasalahan ini. Rakyat juga telah masak dengan taktik sebegini. Rata-rata penduduk Malaysia kini terpelajar, bukannya memegang Degree L.E.M.B.U.!

UMNO pasti bertambah agresif setelah hajat retorik mereka dileburkan mentah-mentah baru-baru ini. Hajat untuk berMuqabalah yang tak kesampaian, malah langsung tiada titik permulaan memaksa UMNO menggunakan kaedah Mukahelah! Kini mereka menggerak-gempur untuk mengganggu proses pilihan raya dengan menyelitkan iklan LIWAT di tengah-tengah tayangan politik yang semakin memuncak.

Himpunan rakyat mungkin berulang sekali lagi di mahkamah esok, beserta pekikan dan laungan reformasi mengiringi kemasukan Anwar buat kesekian kalinya ke muka pengadilan. Sebagaimana biasa, halaman mahkamah pasti dihiasi tiang-tiang megah barisan Simpanan Persekutuan berkeledar merah, beserta lori pembajak air gatal dan gas pemedih mata. Berkemungkinan juga diselang-seli dengan adegan sepak terajang, cekup-mencekup dan gari-menggari.

Walau apa pun akan terjadi pada Anwar, imej kerajaan Barisan Nasional kini telah pun terpalit dengan noda-noda dan sukar untuk dihilangkan. Barisan Nasional tak semudah kuman yang boleh dibasmi dengan rendaman air panas. Kuman dijirus air panas, pasti akan mati. Barisan Nasional dijirus air panas, pasti makin menggelegak…

whereha.wordpress.com

 

“Di sini saya tidak akan memberi reaksi kepada tiga pengomen fantik yang dibuat di bawah artikel berkenaan. Komen begitu sudah biasa bagi saya, macam tea tarik kadang-kadang sudah hilang kelazatannya! Saya menerimanya lebih daripada apa yang diluahkan itu sejak berdekad lalu. Komen seperti itu saya anggap datangnya dari kumpulan Badak Air.

Mengenai pandangan artikel dalam blog berkenaan saya rasa penulis itu tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan dalam artikel berkenaan. Mesejnya tidak dapat dihayati. Mungkin kerana beliau terlalu sayang kepada tokoh itu dan juga Pas!

Penulis itu hanya melihat pada permukaan saja, kerana itulah dia nampak saya semacam hendak melagakan pemimpin tertinggi Pas itu. Saya berharap kalau boleh penulis berkenaan membaca sekali lagi dan hayati betul-betul apakah yang tersurat di sebalik artikel saya itu. Baca dengan mata hati politik bukan dengan mata zahir!” – Selanjutnya, sila klik http://msomelayu.blogspot.com/2008/08/sebelum-lena.html

 

Saya hormati pendirian MSO.

Cuma soalan saya, siapakah yang dimaksudkan beliau sebagai kumpulan BADAK AIR? Adakah saya, yang menulis artikel berkenaan? Atau pun mereka-mereka yang memberi komen dalam keadaan lepas geram tanda tidak bersetuju dengan pandangan beliau? Mungkin benar kita yang tidak bersetuju dengan pandangan MSO adalah orang-orang yang tidak memahami mainan politik tingkat tinggi sepertinya. Kita cuma badak air yang hanya tahu berendam di lumpur atau sungai sambil menganga-ngangakan mulut seluas-luasnya tanpa sebab!

Memang MSO merupakan orang lama dalam bidang penulisan politik. Saya pun ada membaca beberapa buku karangan beliau. Antara yang paling saya minati ialah ‘Hikayat Tok Guru Dan Tiga Abdul!‘.

Siapa di kalangan anda yang memerhati politik Malaysia dengan mata zahir? Jika demikian, saya membuat kesimpulan bahawa anda peminat setia Buletin Utama atau Utusan Melayu. Jika anda melayari blog-blog untuk menghayati maklumat dan pandangan terkini politik tanahair? Takkan saya perlu memutuskan anda dari kategori yang mana satu? ‘Hanya Allah Yang Benar-Benar Memahami Diri Anda’.

Sebagai seorang novis dalam memerhati gerak-geri politik, saya hanya dapat menjangkakan isu pujuk Tuan Guru Haji Hadi menjadi Mursyidul Am PAS menggantikan Tuan Guru Nik Aziz sebagai duri dalam daging kepada PAS sendiri. Peluang ini mungkin bermanfaat kepada UMNO dan kuncu-kuncu medianya meletupkan bom fitnah ke tengah-tengah jemaah PAS. 

Kalau ini terjadi, siapa nak jawab, siapa yang nak tolong? Saya menyayangi jemaah, bukan sekadar mahu mengagung-agungkan pemimpin tertentu. Kita Islam, dan wadah kita seharusnya jemaah Islam jua! Tak jaga jemaah sama seperti tak jaga Islam! Tak jaga Islam sama seperti tak jaga diri sendiri!

whereha.wordpress.com

 

Sahabat pembaca yang dikasihi sekalian, harap dapat sedekahkan senaskhah al-Fatihah di atas pemergian ke rahmatullah Pn. Hjh. Hamidah Daud, Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 3hb Ogos 2008 jam 11.00 pagi, di KLIA. Al-Fatihah.

Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.

Berita lanjut, sila klik http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=13762

whereha.wordpress.com

 

Saya ada terbaca tulisan Mohd Sayuti Omar (MSO) bertajuk “Maklumat Eksklusif: Ada Usaha Pujuk Hadi Ganti Nik Aziz” di laman blognya http://msomelayu.blogspot.com/2008/08/maklumat-eksklusif.html. Tidaklah terlalu menggemparkan kerana saya sudah biasa dengan gaya penulisannya. Namun untuk artikel beliau yang satu ni, terasa pedih juga di ulu hati. Anda boleh klik URL di atas dan boleh cuba memahami sendiri mesej yang ingin beliau sampaikan.

Sebagai individu yang berprinsip tidak berpihak pada mana-mana parti politik, saya akur dengan pendirian sebegini. Tidak menjadi masalah jika tidak mahu menonjolkan diri sebagai penyokong PAS, UMNO, atau PKR. Malah kita bebas untuk bercakap-cakap mengenai pandangan di mana-mana kedai kopi atau restoran-restoran waima di mana-mana sekalipun.  

Namun sebagai penulis yang mempunyai pengaruh, artikel yang ditulis sudah semestinya menjadi perhatian umum. Oleh sebab setiap pembaca juga mempunyai pandangan dan idea masing-masing, maka penulis akan terdedah kepada sokongan dan kritikan tertentu. Itulah kenyataan yang harus diakui oleh penulis. Usahkan penulis, Perdana Menteri sekalipun terdedah kepada pelbagai pro dan kontra dalam setiap tindak-tanduk dan keputusan yang diambil. Itu kenyataannya!

Seperti penulis, pembaca juga terkesan dengan setiap artikel yang dibaca. Maka penulis harus bertanggungjawab di atas setiap patah tutur bicara dan mesej yang sampai kepada pembaca.  

Merujuk kepada artikel di atas, sukar untuk diterima. Penulis yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik boleh melontar sebesar mana pun idea yang ingin dikeluarkan. Namun, kita harus balik kepada asasnya. Apakah asasnya? Sebagai seorang Islam, maka hukum Islam adalah hukum yang wajib kita ambil sebagai pedoman. Melaga-lagakan individu tertentu adalah suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Apatah lagi dengan tindakan sebegini mendatangkan faedah kepada yang menyebarkannya.

Bukan ingin memuji Tuan Guru Mursyidul Am PAS, tetapi adalah wajar kita mencontohi keperibadian beliau. Saya tidak pernah mendengar lidah beliau terkumat-kamit memburukkan mana-mana individu tertentu. Tambahan beliau sendiri telah menegur segelintir media massa agar tidak menzahirkan keaiban sesama Islam mahu pun bukan Islam.

Mungkin ada segelintir daripada kita tidak berpuas hati dengan situasi-situasi tidak enak yang menjengah kancah politik di tanahair kita ini. Namun kita harus berhikmah dalam menyampaikan suara hati. Satu-satu teguran ada kaedahnya. Pilihlah cara yang terbaik. Harus diingat, setiap tindakan kita di dunia akan dihitung walau sebesar zarah. Jika kita membuka keaiban orang lain, ingatlah bahawa di suatu masa aib kita juga akan dibentangkan seluas-luasnya. Kalau tidak sekarang, Allah SWT akan melunaskannya di hari Mahsyar kelak.

Saya bukan bermaksud memberi teguran ini kepada MSO semata-mata. Masih ramai di kalangan kita yang kadangkala tersilap dalam tindak-tanduk kita, termasuk saya sendiri. Seharusnya kita muhasabah diri dan renungi kedangkalan dan kecetekan ilmu yang kita miliki.

Kepada MSO, saya mohon maaf di atas teguran ini. Apa yang saya cuba sampaikan hanyalah dengan tujuan yang baik sebagai saudara seagama.   

whereha.wordpress.com


Statistik Blog

  • 23,691 Hits

Kalendar

Ogos 2008
I S R K J S A
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog