Blues WhereHa

Archive for the ‘Luahan Rasa Hati’ Category

Bertemu kita kesekian kalinya…

Hampir seminggu saya tidak menjengah blog ini dan meninggalkan sebarang artikel. Sibuk sikit dalam seminggu ini. Malam ini terasa gian pula untuk meninggalkan sedikit coretan untuk renungan para sahabat sekalian.

 

Dari malaysiakini.com ( (http://malaysiakini.com/news/88946) yang menguar-uarkan langkah kerajaan Kedah untuk melaksanakan larangan persembahan secara terbuka yang melibatkan penyanyi wanita. Hmm…baguslah kalau begitu. Satu langkah yang serupa dengan kerajaan Kelantan jalankan dulu. Bukan saya bermaksud untuk mengatakan Kedah meniru Kelantan. Juga tiada maksud untuk membanding-bandingkan ketokohan antara kedua-dua Menteri Besar dalam mentadbir negeri. Saya hanya terpikat pada istiqamah dan kesamaan kedua-dua kerajaan negeri ini. Sedikit demi sedikit kelihatan perubahan yang dicorakkan oleh Kedah, negeri ke 2 di bawah kepimpinan Ulamak ini.

 

Kita semua sedar corak hiburan yang disalurkan di negara ini banyak dititipkan unsur-unsur yang tidak sihat. Lihat saja rancangan-rancangan hiburan yang ke udara saban hari di kaca TV. Tak nampak langsung ke arah yang membawa manfaat. Segalanya sekadar untuk bersuka-suka. Bohong jika kita katakan program realiti TV dan program nyanyian menjadikan penontonnya ke arah mengingati dan membesarkan Allah SWT. Kita sendiri dapat lihat apa yang berlaku kepada peserta pertandingan nyanyian yang dihimpit pelbagai kontroversi dan gosip-gosip. Penyanyi wanita pula tampil di pentas dengan fesyen yang menjolok mata. Dan penonton pula bersorak-sorak kerana teruja dengan penyanyi kegemaran mereka.

 

Cuba kita renung dalam-dalam dan tanya jiwa kita sendiri. Inikah jenis dunia hiburan yang sepatutnya yang kita cari-cari? Adakah dunia hiburan sebegini mampu menghadirkan ketenangan jiwa dan meningkatkan kualiti hidup, minda dan jati diri kita?

 

Ramai di kalangan remaja mahupun dewasa terlalai kerana asyik dengan hiburan. Sehingga lupa solat. Lupa hukum. Lupa halal haram. Lupa syariat. Lupa Allah SWT. Lupa segala-galanya. Asalkan hati riang disuntik dengan hiburan yang fana ini.

 

Hiburan di tengah-tengah kelompok masyarakat memerlukan satu perubahan dan pendekatan yang lebih mulia. Memang boleh berhibur sebenarnya, kerana Islam tidak melarang umatnya berhibur. Hiburan adalah penawar hati dan merupakan fitrah dalam diri manusia. Namun hiburan jua ada batasnya. Umat Islam tidak boleh lalai atau bebas kerana berhibur. Hiburan tidak membolehkan kita meninggalkan solat dan terpinggir dari jalan akidah. Hiburan yang diingini tidak sepatutnya memisahkan kita dari pemerhatian Allah SWT.

 

Langkah kerajaan Kedah untuk tidak membenarkan persembahan terbuka penyanyi wanita sangat wajar. Satu kaedah alternatif untuk membendung hiburan tanpa kawalan daripada menguasai minda anak-anak muda kita. Hiburan yang tertutup, di mana hanya wanita yang menonton nyanyian wanita. Secara hakikatnya maruah penyanyi wanita lebih terpelihara, di samping tidak menyekat punca rezeki mereka. Alunan suara mereka tidak akan lagi memalitkan dosa ke telinga lelaki. Fesyen mereka tidak lagi menimbulkan ghairah, kerana penonton mereka hanyalah wanita. Dan lelaki tetap boleh menikmati nyanyian merdu daripada penyanyi sejenis dengan mereka tanpa was-was.   

 

Apa yang saya harapkan, penyanyi atau karyawan muzik tanahair lebih telus dan jujur dalam industri hiburan. Hasilkanlah karya-karya yang lebih bermanfaat dan mencetuskan pemikiran yang luas, bukan sekadar lagu-lagu komersial sahaja demi mengaut keuntungan semata-mata.

 

Sekalung tahniah juga buat kerajaan Kedah!

 

whereha.wordpress.com

Salam pembaca!

Menyoroti solat Jumaat hari ini begitu meletihkan saya. Bukan letih dek kerana terpaksa solat di masjid, tapi dek lantaran kesibukan urusan hari ini yang menyebabkan saya terkejar-kejar ke sana ke mari. Jam di tangan sentiasa dijenguk berkali-kali kerana masa untuk menyudahkan setiap urusan dirasakan begitu suntuk.

Bagi kita warga KL, memang hari Jumaat adalah hari untuk merancang masa seperinci mungkin. Bagi kakitangan kerajaan, mereka telah ditetapkan untuk meninggalkan urusan pejabat tepat jam 12.15 tengahari. Kalau terlebih masa tu, sendiri mau ingatlah. Namun bagi saya sebagai kakitangan swasta, arahan majikan untuk menyelesaikan setiap urusan tidak mengira waktu. Sekalipun tiada tekanan daripada majikan saya, namun saya harus mendahului setiap perancangan beliau agar kerja saya tidak bertimbun dan akhirnya memeningkan kepala.

Sebelum solat Jumaat terpaksa berkejar-kejar mencari gerai atau kedai makan untuk menyantap santapan tengahari. Makan pun tergesa-gesa kerana hendak ke masjid selepas kenyang. Akibat kenyang, mengantuk pula semasa mendengar khutbah. Kalau nak makan selepas solat, kerja yang bertimbun pula sering berteriak kepada saya agar cepat-cepat makan dan pergi siapkan kerja. Haduh…letih sungguh!

Itulah sebabnya saya selalu sampai di masjid untuk solat Jumaat sekitar jam 1.30 tengahari. Dalam keadaan penat dan kadangkala berpeluh, terpaksa pula bersila di tengah-tengah lautan jemaah yang biasanya berkeadaan wangi. Dalam kes ini, saya pula yang berasa tidak selesa kerana takut keadaan diri mengganggu tumpuan jemaah yang lain.

Situasi ini mencetuskan suatu idea di minda saya: alangkah beruntungnya jika hari Jumaat di KL adalah cuti minggu, seperti di Kelantan. Namun, sikap pemimpin Islam di seluruh dunia yang sibuk mengejar keuntungan telah membataskan cetusan idea saya ini. Disebabkan tunduk kepada penganut agama lain menyebabkan hari kebesaran Islam ini dijadikan hari untuk berurusan, manakala hari Ahad sebagai cuti minggu. Ini sangat menyedihkan kerana identiti umat Islam sebenarnya ditenggelamkan secara tidak sedar!

Bila saya pulang ke kampung halaman saya di Kota Bharu, saya merasakan keadaan yang berbeza. Setiap hari Jumaat, saya dapat menziarahi makam almarhum bapa saya, kemudian bersarapan, seterusnya dapat menghadiri kuliah Jumaat Menteri Besar di Medan Ilmu, dapat bersama keluarga ke pasar pagi atau pasar tani, sebelum solat Jumaat sempat mandi terlebih dahulu, dan dapat mengikuti khutbah Jumaat dan solat dalam keadaan yang segar, tidak penat atau mengantuk, makan tengahari dalam keadaan selesa setelah kewajipan berjemaah telah dilaksanakan.

Paling syok dapat melenakan diri sekejap sekitar jam 3.30 petang sehingga berkumandang azan Asar. Selain itu, hari Jumaat juga adalah hari untuk keluarga saya berkumpul.

Inilah kenikmatan cuti hari Jumaat yang tidak dapat saya rasakan di KL. Di minda saya, hanya ada 2 pilihan: kerajaan jadikan Jumaat sebagai cuti minggu atau saya pulang cari makan di kampung!


Statistik Blog

  • 23,551 Hits

Kalendar

Julai 2017
I S R K J S A
« Apr    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Artikel Terbaik!

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog