Blues WhereHa

Archive for the ‘Politik Malaysia’ Category

Assalamualaikum Warahmatullah…

Lama betul tak menulis. Sibuk semenjak kebelakangan ini, di samping tiada buah fikiran untuk disampaikan. Walaupun kemelut politik Malaysia meriah dengan berbagai pergolakan dan insiden panas, tapi kesibukan membataskan niat saya untuk terus mewarnai wadah alternatif sosio politik tanahair.

Semalam secara rasminya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selamat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Tidak seperti sumpah Saiful Bukhari Azlan, majlis angkat sumpah Najib tidak dilangsungkan di ruang solat masjid. Acara ini tiada kena-mengena dengan acara keagamaan. Politik suku, agama suku!

Walaupun Najib masih berhadapan dengan tuduhan pembunuhan Altantuya, namun politik suku agama suku membolehkan negara kita mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Ke 6 tanpa banyak soal. Syabas buat beliau dan terima kasih kepada ‘mat salleh’ yang telah membikin perlembagaan Malaysia hampir 60 tahun lalu.

Walau siapa pun PM kita, kita sebagai rakyat Malaysia amat mengharapkan pemimpin kita sentiasa bersih daripada sebarang spekulasi negatif. Baik pemimpin, baiklah kita. Buruk pemimpin, buruk dan hinalah kita jadinya.

Utamakanlah rakyat agar berbaloi kepercayaan rakyat terhadap pemimpin. Jika pemimpin makan daging, janganlah pula dibiarkan rakyat sekadar menyantap ikan kering…!!

41 orang ahli Parlimen Barisan Nasional ke Taiwan untuk lawatan kerja. 41 orang? Tak pernah berlaku dalam sejarah. Mereka ini ke Taiwan untuk apa? Belajar tentang industri pertanian? 41 orang bermakna 41 kawasan pertanian? Huih..banyak tu! Nak jadi negara pertanian ke gamaknya Malaysia nanti?

Bagus jugak! Nanti bolehlah kasi bapak-bapak petani lebih subsidi. Maklumlah, industri pertanian bakal berkembang lebih pesat selepas ini. Bilangan petani pun tentu makin ramai. Yang menganggur pun boleh turut serta. Teknologi pertanian yang bakal diimplementasikan pun bukan sebarangan, diceduk khusus dari Taiwan. Mesti hasil keluaran makin produktif dan bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Harga beras pun bolehlah diturunkan semula kelak! Lama dah tak makan nasik ni. Asyik makan ubi kayu saja. Macam zaman Jepun pulak! Tak boleh tahan macam ni…

Lepas ini bolehlah diperkenalkan Dasar Pertanian Barisan Nasional (DPBN). Sebabnya, 41 orang ahli Parlimen yang berangkat ke Taiwan 100% daripada Barisan Nasional. 41 orang, 11 orang lebih daripada 30 ahli Parlimen yang nak melompat parti ke Pakatan Rakyat.

Tapi sekali imbas, ada untungnya jugak. Andai ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk kuasa pemerintahan negara, maka tidak perlu lagi bersusah-susah untuk menghantar wakil-wakil rakyat ke Taiwan untuk belajar teknologi pertanian. Boleh digunapakai ahli-ahli Parlimen yang dah pergi sekarang. Jimat dan senang kira!

Cuma pesan hamba, jangan pergi lama sangat. Rakyat amat merindui ahli-ahli Parlimen mereka itu. 

Sekian, wassalam.

whereha.wordpress.com

 

16 September 1963, merupakan tarikh keramat pembentukan gagasan Malaysia. Malaysia dibentuk setelah Singapura meminggirkan diri bagi membentuk republik sendiri. Kemasukan Sabah dan Sarawak menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi berprlimen yang terdiri daripada 14 buah negeri.

Kini, setelah hampir 45 tahun berlalu, tarikh keramat ini sedang menunggu masa. Ibarat bom jangka  yang akan meletup bila-bila masa, 16 September 2008 bakal menjadi titik penting. Perubahan takhta telah pun diuar-uarkan. Tarikh yang dijanjikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini benar-benar dinanti seantero rakyat Malaysia. Setiap warga Malaysia tentunya menunggu dengan penuh debaran dan tanda tanya.

Aspirasi Anwar ini kelihatan semakin kukuh. Terbaru, Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong telah menerima tawaran untuk menyertai pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Sebelum ini, Bekas AJK MCA Pusat, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew beserta 2,079 ahli yang lain juga telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Borang keahlian telah mereka serahkan sendiri kepada Anwar menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Ini hanya sebahagian daripada mereka yang melompat parti. Apa yang menyebabkan mereka berbondong-bondong meninggalkan Barisan Nasional (BN) bukan lagi menjadi tanda tanya. BN kini begitu rapuh dan sudah tidak relevan. Banyak kepincangan dalam pentadbiran, salah guna kuasa, rasuah, daripada bapak menteri hingga ke pegawai paling rendah. Selain itu, isu global seperti kenaikan harga minyak, beras dan barang-barang yang membebankan turut menyumbang rasa tidak puas hati rakyat.  

Apa pula tawaran Anwar kepada mereka, sehingga terbuka pintu hati mereka untuk menyertai pakatan pembangkang? Sebelum sebarang andaian dibuat, harus kita semua fikirkan secara rasional. 

Bukan hanya rakyat yang menuntut perubahan. Dalam BN, ada juga menteri yang turut inginkan perubahan. Jangan pula kita meletakkan kesemua wakil rakyat BN itu sebagai perompak atau penyamun wang dan hak rakyat. Ada di antara mereka yang cuba memberi teguran dan peringatan agar kepentingan rakyat dijaga. Ada juga yang enggan setuju dengan dasar-dasar kerajaan yang memberi tekanan kepada rakyat. Namun mereka tidak mempunyai kudrat untuk memperbetulkan keadaan. Siapalah mereka untuk menentang, bagaikan pipit nak mematuk si helang!

Lalu, muncul tawaran daripada Anwar. Selama terbentuknya gagasan Malaysia, belum pernah pembangkang menguasai 5 buah negeri pada satu masa. Belum pernah rakyat menunjukkan protes yang begitu ketara. Belum pernah kes-kes berprofil tinggi dibongkar seperti sekarang. Justeru, lompat parti dilihat sangat relevan. Kenapa tidak jika lompat parti ke arah kebaikan? Inilah masanya untuk berhenti bergelumang dalam pentadbiran politik yang kotor dan memualkan. Inilah juga masanya untuk bergerak seiringan dengan hasrat rakyat, yang mahukan kerajaan yang telus, negara yang lebih makmur dan rakyat yang lebih sejahtera.

16 September 2008, detik terpenting untuk menyaksikan sejarah baru Malaysia benar-benar tercipta! 

whereha.wordpress.com

 

Salam Pembaca…

Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam telah secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan turut diangkat sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Menang dengan 15, 671 undi majoriti, suatu angka yang luarbiasa bagi pilihanraya kecil di negara kita. Malah pertambahan undi yang diraih berbanding kemenangan isterinya di kawasan tersebut merupakan satu petanda sokongan yang makin hangat terhadap kewibawaannya serta visinya untuk ditabalkan sebagai Perdana Menteri yang akan datang.

Anwar bukanlah orang baru dalam kancah politik tanahair. Seorang politikus yang tulen dan satu-satunya dirantai dengan pelbagai rencah dan konflik mega yang menyelubungi karier politiknya. Selain statusnya selaku mantan Timbalan Perdana Menteri, beliau juga adalah bekas banduan. Seorang yang sanggup ke penjara dek keengganan beliau untuk bersekongkol dengan kebusukan mainan politik kotor. Istiqamah beliau dalam memelihara maruahnya sebagai pemimpin yang cuba menegakkan keadilan wajib dicontohi. 

Politikus yang pernah jatuh dalam UMNO selalunya gagal kembali menyerlah. Anwar adalah bekas UMNO dan kini berada di luar UMNO untuk menentangnya. Bukan menentang UMNO semata-mata, bahkan menentang kezaliman. Rata-rata masyarakat Malaysia melihat dalam UMNO, mulut dipaksa agar dikunci jika tidak sebulu dengan pucuk pimpinan parti. Dan kerana itu Anwar berhadapan dengan UMNO dari luar. Walaupun satu masa dulu wujud desas-desus Anwar dipelawa untuk kembali kepada UMNO, tapi takdir hari ini membenarkan Anwar memanfaatkan haknya di landasan yang berlainan. Keyakinan Anwar dan Pakatan Rakyat kini mula mencambahkan hasil. Syabas juga buat pengundi di Permatang Pauh!

Rakyat telah membuka jalan. Apa yang diharapkan, Anwar dan Pakatan Rakyat terus istiqamah di sepanjang perjalanan!

whereha.wordpress.com

 

Hari Penamaan Calon Parlimen Permatang Pauh

Salam kembali…

Tinggal kurang lebih 5 hari lagi lagi rakyat Permatang Pauh akan menentukan siapa Ahli Parlimen mereka yang baru. Antara 3 calon yang bertanding siapa yang akan memenangi kerusi tersebut. Saya tidak mahu melibatkan calon dari AKIM, kerana umum menyedari sebenarnya siapa yang sebenarnya akan bertembung hebat. Namun melihat kepada calon BN yang diletakkan, saya tidak fikir beliau adalah tandingan Anwar. Namun begitu, kelekaan jentera Pakatan Rakyat boleh mencacatkan segalanya. Dalam soal ini, sikap berwaspada harus dititikberatkan. Jika tidak, rakyat, Pakatan Rakyat dan Anwar sendiri akan berputih mata.

Perkembangan terkini akuan bersumpah Saiful Bukhari Azlan menarik minat untuk dibicarakan. Terbaru, Persatuan Ulama Pulau Pinang turut mempersoalkan sumpah Saiful. Nampaknya sumpah beliau mengundang banyak reaksi yang kurang positif daripada pelbagai pihak yang arif dalam bidang agama. Mungkin kini Saiful sedang merenung kembali akan kewajaran tindakannya itu. Betul atau tak betul? Hmm…jika kita telah nekad untuk melakukan sesuatu, kemudian kita mendapati perbuatan kita itu tidak wajar atau salah, tak tidur malam juga dibuatnya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian…?

Saya turut menonton Hujah di TV9 malam kelmarin. ADUN Lenggong membuat kenyataan tentang peralihan kuasa yang menunjukkan kerajaan BN memenuhi perubahan yang diinginkan rakyat, sebagai hujah kepada penganalisa politik yang juga ahli panel jemputan. Hmm…mungkin beliau tidak memahami perubahan yang bagaimanakah yang diingini rakyat, atau beliau terkongkong dalam ketaatan kepada parti yang menyekat beliau daripada menyampaikan fakta yang sebenar. Wallahua’lam…

Sebentar tadi rancangan Debat antara YB Lim Guan Eng dan YB Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon. Isu pembahagian tanah yang menyaksikan dakwaan Tan Sri bahawa fakta yang cuba diselongkar jawapannya oleh Lim daripada beliau sebagai tuduhan semata-mata. Tiada yang lain melainkan hanya tuduhan dan tuduhan. Rakyat Pulau Pinang ingin mengetahui bagaimana isu pembahagian tanah ini boleh berlaku. Dan soalan Lim mungkin disifatkan sebagai soalan yang popular atau sebagai tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Jawapan sebegini nyata tidak memenuhi tuntutan debat dan kehendak rakyat yang ingin tahu. Sebagai bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa jua kebaikan atau keburukan yang wujud sepanjang pentadbirannya. Jika direnungkan betul-betul, secara teori dan praktikalnya kebocoran maklumat tentang penyelewengan yang berlaku berkemungkinan dibongkarkan oleh bekas-bekas kakitangan beliau, sama ada semasa atau selepas berkhidmat dengan bekas kerajaan beliau. Masakan semua peringkat dalam pentadbirannya mahu mendiamkan diri melihat kepincangan yang sewenang-wenangnya berlaku. 

Dan semakin dekat hari pengundian P044, semakin banyak isu yang cuba ditimbulkan dan dijadikan alasan. Isu-isu mutakhir seperti pukul jurukamera, paparan bendera terbalik oleh blogger, isu liwat dan pengakuan bersumpah, isu kronisme Tuan Guru Nik Aziz dalam pemilihan CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan, isu siasatan BPR ke atas 2 exco Kerajaan Negeri Perak dan bermacam-macam lagi propaganda yang dicetuskan dalam tempoh terdekat ini sudah dihidu oleh rakyat sebagai sekadar mahu mengalihkan perhatian daripada gelora Permatang Pauh. Hanya dengan satu tujuan iaitu menafikan kemenangan Anwar dan menghalang beliau dari misi ke Putrajaya.


Statistik Blog

  • 23,689 Hits

Kalendar

Oktober 2021
I S R K J S A
 123
45678910
11121314151617
18192021222324
25262728293031

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog