Blues WhereHa

Archive for the ‘Politik Malaysia’ Category

 

Saiful Bukhari Azlan, nama yang cukup popular hari ini telah bertindak meraih lebih populariti dengan membuat pengakuan di dalam masjid, bahawa beliau telah diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. ‘MENGAIBKAN’ yang amat untuk saya huraikan lebih lanjut mengenai butir pengakuan beliau. Anda telah saksi dan dengarkan sendiri dalam video di atas.

Soal bersumpah, beliau telah sedia untuk dilaknat Allah SWT. Kalau tidak, masakan beliau sanggup bersumpah. Ingat, sumpah bukan perkara main-main. Dalam Islam, tiada perkara main-main kerana setiap perbuatan dan kerja kita dinilai oleh Allah SWT walaupun sebesar zarah.

Persoalannya, kenapa Saiful tidak heret kes liwat beliau ke mahkamah syariah? Selama kes ini timbul, orang lain yang sibuk-sibuk pakat duk hebohkan kes beliau. Mana Saiful menghilang? Dalam jagaan polis? Betul ke?

Persoalan yang satu lagi pula, kenapa pula si Saiful tu membuat pengakuan bersumpah? Kaedah ini hanya tertakluk kepada masalah tuduh-menuduh antara suami atau pun isteri, yang mana salah satu antara mereka menuduh pasangannya berzina. Dalam Islam, kaedah bersumpah ini disebut sebagai Li’an. Antara Saiful dan Anwar, siapa suami dan siapa pula isteri, yang membolehkan kaedah Li’an ini digunapakai? Dalam erti kata yang lain, Saiful sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk membuat akuan bersumpah seperti itu. Orang Inggeris cakap ‘Disqualified!’ Lucu sungguh! Nak bersumpah tetapi kaedahnya pula tak bertempat. Tambah melucukan apabila imam masjid tersebut tanpa sebab terpaksa pula membenarkan TRAGEDI ini berlaku! Kesian pak Imam…

Anwar telah merujuk kes beliau ke mahkamah syariah. Qazaf! Satu kaedah sebenar yang dirujuk oleh Anwar. Jikalau beliau tidak bersalah, Saiful pula boleh dikenakan hukuman seperti di bawah:

Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah:

  1. Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.
  2. Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.


Hukuman di Akhirat:

Firman Allah (al-Nur: 23-24) yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”

Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya.

Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar.

Rujukan: http://putrawangsa.com/liwat-dan-qazaf-dari-perspektif-islam/

Bagaimana agaknya Saiful? Berat hukumannya tu.

Namun begitu, Undang-Undang Syariah yang digunapakai oleh Sistem Kehakiman Syariah di Malaysia telah disesuaikan dengan perlembagaan Malaysia. Jadi, mungkin hukumannya agak ringan. Walaupun kaedah yang digunapakai serupa, harus diambil perhatian bahawa Allah hanya menerima hukuman dan perlembagaan ciptaanNya sahaja, kerana Dia telah menetapkan segala hukum-hakam yang paling tepat dengan kejadian manusia. 

Apa yang pasti, Saiful telah pun bersumpah, maka menjadi urusan Allahlah ke atas apa yang beliau kerjakan. Dan sesungguhnya azab Allah itu amat pedih!

Ikuti pandangan Tuan Guru Haji Hadi di http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16454&Itemid=1

dan Ustaz Dr. Haron Din di http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=16451&Itemid=1

Laporan Pemeriksaan Alat Kelamin!

 whereha.wordpress.com

Bertemu kembali…

Esok, tanggal 7 Ogos 2008 kira-kira 9 hari lagi sebelum Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P044 Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur atas dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Peristiwa ini sememangnya telah kita jangkakakan, sementelah sejak kebelakangan ini kita memang asyik menjangkakan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dalam politik negara kita.

Secara mudahnya, tindakan menghadapkan Anwar ke mahkamah hanyalah untuk menyusahkan Anwar dan mengganggu kerancakan kempennya membawa Pakatan Rakyat menuju Putrajaya. Tambahan pula hari Penamaan Calon sudah tidak berapa jauh saatnya.

Secara simboliknya, tindakan ini dilihat mahu membenam Anwar daripada bertanding, di samping mengalihkan perhatian rakyat dan melekakan jentera Pakatan Rakyat daripada kesibukan di Post P044. Seharusnya percaturan terperinci dan strategik telah dipersiapkan untuk menghadapi situasi sebegini oleh Pakatan Rakyat, memandangkan jangkaan untuk menghadapkan Anwar ke mahkamah sebelum penamaan calon, telah lama disebut-sebut. Jentera Pakatan Rakyat tidak akan dilalaikan oleh permasalahan ini. Rakyat juga telah masak dengan taktik sebegini. Rata-rata penduduk Malaysia kini terpelajar, bukannya memegang Degree L.E.M.B.U.!

UMNO pasti bertambah agresif setelah hajat retorik mereka dileburkan mentah-mentah baru-baru ini. Hajat untuk berMuqabalah yang tak kesampaian, malah langsung tiada titik permulaan memaksa UMNO menggunakan kaedah Mukahelah! Kini mereka menggerak-gempur untuk mengganggu proses pilihan raya dengan menyelitkan iklan LIWAT di tengah-tengah tayangan politik yang semakin memuncak.

Himpunan rakyat mungkin berulang sekali lagi di mahkamah esok, beserta pekikan dan laungan reformasi mengiringi kemasukan Anwar buat kesekian kalinya ke muka pengadilan. Sebagaimana biasa, halaman mahkamah pasti dihiasi tiang-tiang megah barisan Simpanan Persekutuan berkeledar merah, beserta lori pembajak air gatal dan gas pemedih mata. Berkemungkinan juga diselang-seli dengan adegan sepak terajang, cekup-mencekup dan gari-menggari.

Walau apa pun akan terjadi pada Anwar, imej kerajaan Barisan Nasional kini telah pun terpalit dengan noda-noda dan sukar untuk dihilangkan. Barisan Nasional tak semudah kuman yang boleh dibasmi dengan rendaman air panas. Kuman dijirus air panas, pasti akan mati. Barisan Nasional dijirus air panas, pasti makin menggelegak…

whereha.wordpress.com

 

Setelah beberapa hari tak update blog ni, akhirnya malam ni ada jugak masa terluang. Mulanya terasa agak malas, tapi sedar-sedar dah pun start menaip. Itu pun setelah terbaca tentang kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am PAS tentang muqabalah dengan pemimpin-pemimpin UMNO, bukannya muzakarah seperti yang digembar-gemburkan media arus perdana yang suka ‘mentekedarah’ parti-parti pembangkang!

Sebenarnya saya pun tak berapa faham apa maksud muzakarah sebelum ni. Yang saya faham, muzakarah bermaksud berbincang. Hmmm…rupa-rupanya muqabalah! Betapa tak pandainya saya hal-hal bahasa dan ‘grammar’ Arab ni…isk…banyak lagi kena belajar….

Hati saya sedikit lega dengan kenyataan Tok Guru yang saya sayangi itu. Maknanya tidak timbul langsung soal penggabungan antara PAS dan UMNO. Memang mustahil. PAS dengan dasar Islam dan UMNO pulak dengan dasar kebangsaannya, dasar Melayu. Melayu tak semestinya Islam. Melayu sekarang ni pun tak semestinya cukup solat lima waktu sehari. Lebih parah lagi ada yang langsung tak solat! Ramai tu….

Walaupun lega, tapi ada kemusykilan yang menyebabkan saya kurang bersetuju dengan muqabalah ini.

Pertama: UMNO ingin bermuqabalah dengan PAS untuk membincangkan tentang kepentingan dan perpaduan umat Islam seluruh Malaysia. Betul ke ni? Apa rasionalnya UMNO mahukan PAS sebagai rakan muqabalahnya? Setahu saya, UMNO sejak zaman-berzaman menafikan perjuangan PAS sebagai parti yang menegakkan Islam. Sebaliknya mereka menuduh PAS sebagai parti yang bertopengkan Islam dan hanya memperalatkan agama dalam perjuangan. Adakah dengan cara bermuqabalah bermakna UMNO mengiktiraf PAS sebagai parti yang ikhlas dalam perjuangan Islam? Atau UMNO sekadar ingin mendapatkan perhatian daripada pendokong dan penyokong PAS termasuk dari kalangan bukan Muslim, kerana mereka sedar bahawa pengaruh PAS masa kini amat ketara kuatnya? Hmmm… musykil.. musykil…

Kedua: Apakah jenis kepentingan umat Islam yang ingin dipertahankan oleh UMNO melalui muqabalah ini? Adakah kepentingan ekonomi, populasi atau politik? Kita sedar bahawa selama hampir 51 tahun merdeka, ekonomi Malaysia bukannya dimonopoli oleh umat Islam. Umat Islam agak terpinggir dari segi ekonomi. Ini termasuk dari segi hartanah, hypermarket, syarikat-syarikat kontraktor mahu pun korporat. Bahkan perniagaan runcit kini sudah mula dicerobohi oleh pendatang asing, sama ada Bangla mahu pun Acheh! Melayu? Melayu lebih banyak memonopoli industri-industri tak bertauliah. Umpamanya dadah, rempit, seks terlarang, pertandingan menyanyi, karaoke atau realiti tv, termasuk jugak memonopoli hampir segenap penjuru Dataran Merdeka setiap kali ada konsert atau perayaan berbunga api! 

Dari segi populasi atau pengkolonian, bandar-bandar besar dikuasai oleh kaum-kaum yang lain. Lihat saja rumah-rumah mewah di bandar-bandar besar, jarang sekali milik Muslim dan Melayu. Muslim dan Melayu lebih banyak memonopoli penempatan-penempatan setinggan dan kos rendah. Itu pun hampir-hampir dipupuskan oleh bekas kerajaan Selangor melalui Kempen Setinggan Sifar. Belum lagi dikira mereka yang berada di pusat pemulihan atau pun segelintir lagi yang masih tidur di bawah jambatan-jambatan dalam keadaan mabuk dan khayal akibat suntikan yang tak bertauliah.

Dari segi politik, hmmm…yang ni saya malas nak komen…tengok ajelah kat dalam tv tu…

Ketiga: Apakah yang telah dibuat oleh UMNO sebagai kerajaan selama 5 dekad ini yang dilihat benar-benar berusaha memartabatkan umat Islam di Malaysia? Hanya segelintir Muslim yang berjaya hidup mewah, sesetengahnya berpendapatan sederhana, dan yang selebihnya terpaksa ‘kais pagi makan petang’! Remaja makin rosak akhlak dan makin ‘lagha’ dalam kelab-kelab malam, hiburan melampau dan siri konsert-konsert yang dianjurkan saban hari, saban bulan, dan saban tahun! Masjid-masjid semakin tak ada yang sudi…

Keempat: Kenapa UMNO menunggu sehingga hilang 4 lagi negeri untuk bermuqabalah dengan PAS? Di zaman Tun Dr. Mahathir dulu, satu muzakarah pernah diadakan di antara bekas ahli dan Presiden UMNO itu dengan bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadhil Noor. Isunya pun tak berkaitan dengan kepentingan umat Islam negara, tetapi melangkau hingga ke Palestin!

Kelima: Apakah wadah yang ingin dicanangkan oleh UMNO untuk memenuhi keperluan muqabalah ini? Adakah Islam Hadhari yang akan dicadangkan bagi menjamin kepentingan dan masa depan Muslim di tanah air kita ini?

Hmmm…saya menjangkakan akan lebih banyak persoalan yang bakal timbul selepas ini. Saya jangkakan keberkesanan muqabalah ini agak tipis, kecuali hasil muqabalah ini membawa kepada PAS mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.  Kalau yang tu, saya amat-amat berlapang dada!

 whereha.wordpress.com


Statistik Blog

  • 23,691 Hits

Kalendar

November 2021
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog