Blues WhereHa

Assalamualaikum Warahmatullah…

Lama betul tak menulis. Sibuk semenjak kebelakangan ini, di samping tiada buah fikiran untuk disampaikan. Walaupun kemelut politik Malaysia meriah dengan berbagai pergolakan dan insiden panas, tapi kesibukan membataskan niat saya untuk terus mewarnai wadah alternatif sosio politik tanahair.

Semalam secara rasminya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selamat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6. Tidak seperti sumpah Saiful Bukhari Azlan, majlis angkat sumpah Najib tidak dilangsungkan di ruang solat masjid. Acara ini tiada kena-mengena dengan acara keagamaan. Politik suku, agama suku!

Walaupun Najib masih berhadapan dengan tuduhan pembunuhan Altantuya, namun politik suku agama suku membolehkan negara kita mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Ke 6 tanpa banyak soal. Syabas buat beliau dan terima kasih kepada ‘mat salleh’ yang telah membikin perlembagaan Malaysia hampir 60 tahun lalu.

Walau siapa pun PM kita, kita sebagai rakyat Malaysia amat mengharapkan pemimpin kita sentiasa bersih daripada sebarang spekulasi negatif. Baik pemimpin, baiklah kita. Buruk pemimpin, buruk dan hinalah kita jadinya.

Utamakanlah rakyat agar berbaloi kepercayaan rakyat terhadap pemimpin. Jika pemimpin makan daging, janganlah pula dibiarkan rakyat sekadar menyantap ikan kering…!!

41 orang ahli Parlimen Barisan Nasional ke Taiwan untuk lawatan kerja. 41 orang? Tak pernah berlaku dalam sejarah. Mereka ini ke Taiwan untuk apa? Belajar tentang industri pertanian? 41 orang bermakna 41 kawasan pertanian? Huih..banyak tu! Nak jadi negara pertanian ke gamaknya Malaysia nanti?

Bagus jugak! Nanti bolehlah kasi bapak-bapak petani lebih subsidi. Maklumlah, industri pertanian bakal berkembang lebih pesat selepas ini. Bilangan petani pun tentu makin ramai. Yang menganggur pun boleh turut serta. Teknologi pertanian yang bakal diimplementasikan pun bukan sebarangan, diceduk khusus dari Taiwan. Mesti hasil keluaran makin produktif dan bakal menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara. Harga beras pun bolehlah diturunkan semula kelak! Lama dah tak makan nasik ni. Asyik makan ubi kayu saja. Macam zaman Jepun pulak! Tak boleh tahan macam ni…

Lepas ini bolehlah diperkenalkan Dasar Pertanian Barisan Nasional (DPBN). Sebabnya, 41 orang ahli Parlimen yang berangkat ke Taiwan 100% daripada Barisan Nasional. 41 orang, 11 orang lebih daripada 30 ahli Parlimen yang nak melompat parti ke Pakatan Rakyat.

Tapi sekali imbas, ada untungnya jugak. Andai ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk kuasa pemerintahan negara, maka tidak perlu lagi bersusah-susah untuk menghantar wakil-wakil rakyat ke Taiwan untuk belajar teknologi pertanian. Boleh digunapakai ahli-ahli Parlimen yang dah pergi sekarang. Jimat dan senang kira!

Cuma pesan hamba, jangan pergi lama sangat. Rakyat amat merindui ahli-ahli Parlimen mereka itu. 

Sekian, wassalam.

whereha.wordpress.com

Layari www.perakan.org.my untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut.

 

16 September 1963, merupakan tarikh keramat pembentukan gagasan Malaysia. Malaysia dibentuk setelah Singapura meminggirkan diri bagi membentuk republik sendiri. Kemasukan Sabah dan Sarawak menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi berprlimen yang terdiri daripada 14 buah negeri.

Kini, setelah hampir 45 tahun berlalu, tarikh keramat ini sedang menunggu masa. Ibarat bom jangka  yang akan meletup bila-bila masa, 16 September 2008 bakal menjadi titik penting. Perubahan takhta telah pun diuar-uarkan. Tarikh yang dijanjikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini benar-benar dinanti seantero rakyat Malaysia. Setiap warga Malaysia tentunya menunggu dengan penuh debaran dan tanda tanya.

Aspirasi Anwar ini kelihatan semakin kukuh. Terbaru, Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong telah menerima tawaran untuk menyertai pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Sebelum ini, Bekas AJK MCA Pusat, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew beserta 2,079 ahli yang lain juga telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Borang keahlian telah mereka serahkan sendiri kepada Anwar menjelang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh.

Ini hanya sebahagian daripada mereka yang melompat parti. Apa yang menyebabkan mereka berbondong-bondong meninggalkan Barisan Nasional (BN) bukan lagi menjadi tanda tanya. BN kini begitu rapuh dan sudah tidak relevan. Banyak kepincangan dalam pentadbiran, salah guna kuasa, rasuah, daripada bapak menteri hingga ke pegawai paling rendah. Selain itu, isu global seperti kenaikan harga minyak, beras dan barang-barang yang membebankan turut menyumbang rasa tidak puas hati rakyat.  

Apa pula tawaran Anwar kepada mereka, sehingga terbuka pintu hati mereka untuk menyertai pakatan pembangkang? Sebelum sebarang andaian dibuat, harus kita semua fikirkan secara rasional. 

Bukan hanya rakyat yang menuntut perubahan. Dalam BN, ada juga menteri yang turut inginkan perubahan. Jangan pula kita meletakkan kesemua wakil rakyat BN itu sebagai perompak atau penyamun wang dan hak rakyat. Ada di antara mereka yang cuba memberi teguran dan peringatan agar kepentingan rakyat dijaga. Ada juga yang enggan setuju dengan dasar-dasar kerajaan yang memberi tekanan kepada rakyat. Namun mereka tidak mempunyai kudrat untuk memperbetulkan keadaan. Siapalah mereka untuk menentang, bagaikan pipit nak mematuk si helang!

Lalu, muncul tawaran daripada Anwar. Selama terbentuknya gagasan Malaysia, belum pernah pembangkang menguasai 5 buah negeri pada satu masa. Belum pernah rakyat menunjukkan protes yang begitu ketara. Belum pernah kes-kes berprofil tinggi dibongkar seperti sekarang. Justeru, lompat parti dilihat sangat relevan. Kenapa tidak jika lompat parti ke arah kebaikan? Inilah masanya untuk berhenti bergelumang dalam pentadbiran politik yang kotor dan memualkan. Inilah juga masanya untuk bergerak seiringan dengan hasrat rakyat, yang mahukan kerajaan yang telus, negara yang lebih makmur dan rakyat yang lebih sejahtera.

16 September 2008, detik terpenting untuk menyaksikan sejarah baru Malaysia benar-benar tercipta! 

whereha.wordpress.com

Bertemu kita kesekian kalinya…

Hampir seminggu saya tidak menjengah blog ini dan meninggalkan sebarang artikel. Sibuk sikit dalam seminggu ini. Malam ini terasa gian pula untuk meninggalkan sedikit coretan untuk renungan para sahabat sekalian.

 

Dari malaysiakini.com ( (http://malaysiakini.com/news/88946) yang menguar-uarkan langkah kerajaan Kedah untuk melaksanakan larangan persembahan secara terbuka yang melibatkan penyanyi wanita. Hmm…baguslah kalau begitu. Satu langkah yang serupa dengan kerajaan Kelantan jalankan dulu. Bukan saya bermaksud untuk mengatakan Kedah meniru Kelantan. Juga tiada maksud untuk membanding-bandingkan ketokohan antara kedua-dua Menteri Besar dalam mentadbir negeri. Saya hanya terpikat pada istiqamah dan kesamaan kedua-dua kerajaan negeri ini. Sedikit demi sedikit kelihatan perubahan yang dicorakkan oleh Kedah, negeri ke 2 di bawah kepimpinan Ulamak ini.

 

Kita semua sedar corak hiburan yang disalurkan di negara ini banyak dititipkan unsur-unsur yang tidak sihat. Lihat saja rancangan-rancangan hiburan yang ke udara saban hari di kaca TV. Tak nampak langsung ke arah yang membawa manfaat. Segalanya sekadar untuk bersuka-suka. Bohong jika kita katakan program realiti TV dan program nyanyian menjadikan penontonnya ke arah mengingati dan membesarkan Allah SWT. Kita sendiri dapat lihat apa yang berlaku kepada peserta pertandingan nyanyian yang dihimpit pelbagai kontroversi dan gosip-gosip. Penyanyi wanita pula tampil di pentas dengan fesyen yang menjolok mata. Dan penonton pula bersorak-sorak kerana teruja dengan penyanyi kegemaran mereka.

 

Cuba kita renung dalam-dalam dan tanya jiwa kita sendiri. Inikah jenis dunia hiburan yang sepatutnya yang kita cari-cari? Adakah dunia hiburan sebegini mampu menghadirkan ketenangan jiwa dan meningkatkan kualiti hidup, minda dan jati diri kita?

 

Ramai di kalangan remaja mahupun dewasa terlalai kerana asyik dengan hiburan. Sehingga lupa solat. Lupa hukum. Lupa halal haram. Lupa syariat. Lupa Allah SWT. Lupa segala-galanya. Asalkan hati riang disuntik dengan hiburan yang fana ini.

 

Hiburan di tengah-tengah kelompok masyarakat memerlukan satu perubahan dan pendekatan yang lebih mulia. Memang boleh berhibur sebenarnya, kerana Islam tidak melarang umatnya berhibur. Hiburan adalah penawar hati dan merupakan fitrah dalam diri manusia. Namun hiburan jua ada batasnya. Umat Islam tidak boleh lalai atau bebas kerana berhibur. Hiburan tidak membolehkan kita meninggalkan solat dan terpinggir dari jalan akidah. Hiburan yang diingini tidak sepatutnya memisahkan kita dari pemerhatian Allah SWT.

 

Langkah kerajaan Kedah untuk tidak membenarkan persembahan terbuka penyanyi wanita sangat wajar. Satu kaedah alternatif untuk membendung hiburan tanpa kawalan daripada menguasai minda anak-anak muda kita. Hiburan yang tertutup, di mana hanya wanita yang menonton nyanyian wanita. Secara hakikatnya maruah penyanyi wanita lebih terpelihara, di samping tidak menyekat punca rezeki mereka. Alunan suara mereka tidak akan lagi memalitkan dosa ke telinga lelaki. Fesyen mereka tidak lagi menimbulkan ghairah, kerana penonton mereka hanyalah wanita. Dan lelaki tetap boleh menikmati nyanyian merdu daripada penyanyi sejenis dengan mereka tanpa was-was.   

 

Apa yang saya harapkan, penyanyi atau karyawan muzik tanahair lebih telus dan jujur dalam industri hiburan. Hasilkanlah karya-karya yang lebih bermanfaat dan mencetuskan pemikiran yang luas, bukan sekadar lagu-lagu komersial sahaja demi mengaut keuntungan semata-mata.

 

Sekalung tahniah juga buat kerajaan Kedah!

 

whereha.wordpress.com

Statistik Blog

  • 23,783 Hits

Kalendar

April 2024
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog