Blues WhereHa

Archive for Julai 2008

 

Salam kembali…

Jika anda menjenguk ke laman ini, http://nikabduh.wordpress.com, anda akan memperolehi sedikit sebanyak intipati yang berguna bagi merungkaikan simpulan yang wujud di benak dan kepala anda. Hasil nukilan anakanda Mursyidul Am PAS ini, Sdr. Nik Abduh bukan sebarangan nukilan. Gabungan antara nas dan bernas pemikiran menjurus kepada satu pemahaman yang mendalam. Sekaligus menyuntik ketajaman pemikiran dan keteguhan iltizam untuk membuat penilaian ke atas isu-isu berbangkit yang selama ini  mengkucar-kacirkan koloni Islam sejagat.

Umum mengikuti perkembangan isu muzakarah, muqabalah, bubar parti antara PAS dan UMNO sehingga membawa kepada kedangkalan kenyataan Karpal Singh, hingga mencetuskan kesinambungan imej buruk DAP. Lantas peluang ini dimanfaatkan oleh media perdana dengan hebahan menyeluruh tentang keretakan hubungan komponen Pakatan Rakyat. Mujur PKR berdiam diri dan hanya fokus tentang Anwar Ibrahim. Paling menggelikan hati bila UMNO tanpa disedari telah membuka pekung di dada dengan tawaran-tawaran melulu untuk membentuk kerajaan campuran PAS-UMNO di Perak dan Pahang. Gelojoh sungguh…

Saya bukan hendak menyokong tulisan Nik Abduh semata-mata kerana saya mengaguminya atau kerana menjadi kenalan rapat kepada beliau. Anda boleh teliti dan hayati sendiri mesej yang ingin disampaikannya. Dalam konteks muqabalah cadangan ayahandanya, beliau mengutarakan nas-nas yang saya sendiri tidak berapa mengetahuinya. Maklumlah, baca Quran tapi maknanya tak faham. Nak jenguk terjemahan jarang sekali dek sibuk dengan hal-hal duniawi. Huk..huk…

Menyingkap tulisan Nik Abduh, disebut jua olehnya tentang peri pentingnya mencari jalan untuk berdamai, walaupun dengan musuh. Inikan pulak sesama Islam. Inilah kebaikan Islam. Ada garis perdamaian dalam Islam yang boleh dijadikan panduan. Kenyataan Tok Guru untuk membubarkan parti PAS dan UMNO lalu menubuhkan parti baru berlandaskan Islam, memang sengaja diucapkan. Tujuannya, untuk melihat sejauh mana kesediaan UMNO untuk bersatu demi kepentingan Islam. Ingat, UMNO mahu bersatu demi kepentingan orang Melayu dan Islam! Ada bezanya. Jika mahu bersatu, UMNO mesti mengenepikan kepentingan orang Melayu kerana kepentingan orang Melayu tidak wujud dalam skop perjuangan Islam. Maksudnya kepentingan orang Melayu bukan objektif Islam diutuskan ke dunia! Rasulullah SAW sendiri menyatupadukan bangsa Arab dengan Islam, bukan dengan semangat Arabisme!

Menyatupadukan umat Islam harus dimulakan dengan menyatupadukan akidah. Keyakinan terhadap Allah SWT pencipta alam semesta dan segala hidupan di dunia. Keyakinan tentang pahala dan dosa. Keyakinan tentang syurga dan neraka. Keyakinan tentang rahmat dan laknat. Keyakinan tentang adanya hari akhirat. Akidah ini akan mengubah cara hidup kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, remaja kita, masyarakat kita, sistem kehakiman kita, sosio-ekonomi kita, dan kuasa kerajaan kita ke arah cara hidup yang terbaik dan diredhai Allah SWT.

Islam dijadikan Allah SWT untuk semua. Dan kerana itu slogan PAS adalah PAS For All! PAS mendokong perjuangan Islam untuk semua bangsa atas dasar keadilan Islam. Tiada PAS, Islam tetap ada. Islam tak mati. Kita yang mati. Islam tetap hidup hingga ke hari Kiamat!

Cadangan Tok Guru adalah salah satu jalan perdamaian yang dicari-cari. Cadangan untuk memulakan permuafakatan umat Islam demi mendaulatkan Islam. Pada masa yang sama sebagai ujian untuk menyelongkar keikhlasan UMNO terhadap usaha menjamin kepentingan dan masa depan umat Islam. PAS tidak akan bergabung dengan UMNO selagi UMNO masih berselindung di sebalik kepentingan Melayu. Jalan perdamaian sudah tersedia. Mengorbankan kepentingan Melayu dan ditegakkan prinsip Islam sebenarnya akan menggandakan kesejahteraan kepada semua termasuk bukan Islam. Buang Melayu, tegakkan Islam, selamat dunia dan akhirat!

whereha.wordpress.com

Assalamualaikum Warahmatullah…

Malam tadi seperti biasa menonton saya terperap di depan tv semata-mata nak dengar lanjutan hikayat Muqabalah UMNO-PAS. Dan hasil yang saya perolehi seperti video di bawah ini:

Apa yang menariknya ialah betapa di antara ramai di kalangan pimpinan PAS mahu pun UMNO, tiada seorang pun yang pernah saya dengar mengeluarkan kenyataan seperti Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS ini. Jika kita renung sejenak, sudah tentu kenyataan Tok Guru itu kedengaran aneh. Apakah sebenarnya makna Parti Islam SeMalaysia kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini? Berpuluh-puluh tahun berjuang dalam PAS sehingga menjadi pemimpin terkanan, lebih kanan daripada Presiden, tiba-tiba sanggup untuk membubarkan PAS, satu-satunya parti yang mendokong perjuangan Islam di tanahair kita ini. Pelik bukan? Seolah-olah PAS bukan maksud hakiki dalam perjuangan Tok Guru. Apa sebenarnya yang beliau mahukan?

Huh…politik Tok Guru memang aneh. Sebabnya, politik beliau tak ada ciri-ciri seperti ‘politik’ ahli politik. Dari mana agaknya beliau belajar politik seperti ini? Memang idea yang lahir dari minda dan pemikirannya amat-amat berbeza.

Jangan pula salah sangka. Pada saya, kenyataan Tok Guru memperlihatkan satu tawaran terhebat buat UMNO. Bila lagi peluang unutk UMNO membubarkan diri? Walaupun dulu pernah dibubarkan, tapi diganti semula dengan UMNO baru. Lama atau baru, apa bezanya? Orangnya dan mainannya tetap tak berubah. Malah lebih parah. Di satu sudut, mungkin PAS juga terasa ‘lain’ dengan kenyataan seperti itu. Namun begitu, saya berpandangan saf kepimpinan PAS dan para ahlinya mampu menerima apa yang cuba disampaikan oleh Tok Guru. Maksud beliau sangat dalam dan paling tepat jika ingin dikaitkan dengan Muqabalah yang diwar-warkan untuk mengukuhkan perpaduan dan hala tuju umat Islam di negara ini. Korbankan parti yang ada dan bersatu semula dalam satu parti baru yang berakidah dan bersyariatkan Islam. Jika ahli UMNO dan PAS dapat bergabung di bawah satu wadah yang berjuang dengan berpaksikan Islam, maka PAS sendiri sudah tidak diperlukan lagi. Itu rasionalnya Tok Guru! Ini saya setuju.

Soalnya, mampukah pimpinan UMNO bersetuju untuk bertindak membubarkan parti agung yang didakwa mewakili perjuangan Melayu itu? Kalau demi Islam mereka terpaksa membubarkan UMNO, saya tidak mampu untuk mengiakan kesediaan dan keterbukaan mereka untuk menyepakati UMNO dibubarkan. Sukar untuk minda saya membayangkan setiap bahagian UMNO berkumpul dan mengisytiharkan mereka menyokong sepenuhnya tindakan Pak Lah membubarkan UMNO. Tak mungkin ini akan terjadi…sebab nak turunkan Pak Lah pun mereka tak sampai hati…

Namun harus diingat, kuasa dalam genggaman Allah SWT. Harus diingat sebelum Pilihan Raya 12, UMNO mendakwa mereka kukuh. Sebelum kenaikan harga minyak, mereka mendakwa Pakatan Rakyat longgar. Harus diingat juga bahawa UMNO yang terlebih dahulu terhegeh-hegeh menjemput PAS untuk berbincang bersama, walaupun sebelum ini mereka asyik menghentam PAS selumat-lumatnya. Walaupun sebelum ini PAS mereka lagakan di sana-sini. Walaupun sebelum ini PAS mereka dakwa semakin lemah dan hilang sokongan. Nah! Sekarang siapa yang terkapai-kapai hilang pedoman. Mabuk kepayang, sampai musuh dipujuk menjadi kawan? Hentam, hentam jua tapi berbincang pun perlu juga. Keliru sungguh!

Kenyataan Tok Guru kali ini pada saya sangat bernas, sekaligus menonjolkan kematangan ulama dalam menangani karenah politik. Kepentingan Islam melebihi kepentingan PAS. Sudah tentu kenyataan ini sedikit-sebanyak menimbulkan kekhuatiran dan menenggelamkan semangat dan nawaitu UMNO. Dan cakap-cakap untuk berMuqabalah mungkin sedikit pudar dan perlahan di kalangan pimpinannya. Dan kenyataan ini akan menjadi satu kenyataan akhbar yang sangat popular. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini komen Tok Guru semakin mendapat tempat di hati media, baik media perdana, lebih-lebih lagi di media rakyat. Agak menghairankan apabila TV3 kian kerap menyiarkan sebarang kenyataan dan komen Tok Guru terhadap segala macam isu agama yang berbangkit kebelakangan ini. Walaupun kadangkala diprovokasikan, tapi kata-kata hikmah Tok Guru kadangkala dirujuk juga. Tidak pula Pak Lah yang dicari. Mungkin konsep Hadhari kurang sesuai, sehingga Hadhari Pak Lah seolah-olah telah terpinggir ke suatu dimensi yang antah-berantah!

Walau apa sekalipun, saya yakin kenyataan ini akan menjadi pegangan rakyat untuk menilai sejauh mana keterbukaan dan komitmen kedua-dua parti dalam usaha menjaga kepentingan dan masa depan umat Islam tanahair kita. Apakah pula reaksi pimpinan UMNO terhadap kenyataan Tok Guru itu, pastinya tak sabar untuk diikuti.

Pada saya, idea Tok Guru ini memang unik.

 

Setelah beberapa hari tak update blog ni, akhirnya malam ni ada jugak masa terluang. Mulanya terasa agak malas, tapi sedar-sedar dah pun start menaip. Itu pun setelah terbaca tentang kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am PAS tentang muqabalah dengan pemimpin-pemimpin UMNO, bukannya muzakarah seperti yang digembar-gemburkan media arus perdana yang suka ‘mentekedarah’ parti-parti pembangkang!

Sebenarnya saya pun tak berapa faham apa maksud muzakarah sebelum ni. Yang saya faham, muzakarah bermaksud berbincang. Hmmm…rupa-rupanya muqabalah! Betapa tak pandainya saya hal-hal bahasa dan ‘grammar’ Arab ni…isk…banyak lagi kena belajar….

Hati saya sedikit lega dengan kenyataan Tok Guru yang saya sayangi itu. Maknanya tidak timbul langsung soal penggabungan antara PAS dan UMNO. Memang mustahil. PAS dengan dasar Islam dan UMNO pulak dengan dasar kebangsaannya, dasar Melayu. Melayu tak semestinya Islam. Melayu sekarang ni pun tak semestinya cukup solat lima waktu sehari. Lebih parah lagi ada yang langsung tak solat! Ramai tu….

Walaupun lega, tapi ada kemusykilan yang menyebabkan saya kurang bersetuju dengan muqabalah ini.

Pertama: UMNO ingin bermuqabalah dengan PAS untuk membincangkan tentang kepentingan dan perpaduan umat Islam seluruh Malaysia. Betul ke ni? Apa rasionalnya UMNO mahukan PAS sebagai rakan muqabalahnya? Setahu saya, UMNO sejak zaman-berzaman menafikan perjuangan PAS sebagai parti yang menegakkan Islam. Sebaliknya mereka menuduh PAS sebagai parti yang bertopengkan Islam dan hanya memperalatkan agama dalam perjuangan. Adakah dengan cara bermuqabalah bermakna UMNO mengiktiraf PAS sebagai parti yang ikhlas dalam perjuangan Islam? Atau UMNO sekadar ingin mendapatkan perhatian daripada pendokong dan penyokong PAS termasuk dari kalangan bukan Muslim, kerana mereka sedar bahawa pengaruh PAS masa kini amat ketara kuatnya? Hmmm… musykil.. musykil…

Kedua: Apakah jenis kepentingan umat Islam yang ingin dipertahankan oleh UMNO melalui muqabalah ini? Adakah kepentingan ekonomi, populasi atau politik? Kita sedar bahawa selama hampir 51 tahun merdeka, ekonomi Malaysia bukannya dimonopoli oleh umat Islam. Umat Islam agak terpinggir dari segi ekonomi. Ini termasuk dari segi hartanah, hypermarket, syarikat-syarikat kontraktor mahu pun korporat. Bahkan perniagaan runcit kini sudah mula dicerobohi oleh pendatang asing, sama ada Bangla mahu pun Acheh! Melayu? Melayu lebih banyak memonopoli industri-industri tak bertauliah. Umpamanya dadah, rempit, seks terlarang, pertandingan menyanyi, karaoke atau realiti tv, termasuk jugak memonopoli hampir segenap penjuru Dataran Merdeka setiap kali ada konsert atau perayaan berbunga api! 

Dari segi populasi atau pengkolonian, bandar-bandar besar dikuasai oleh kaum-kaum yang lain. Lihat saja rumah-rumah mewah di bandar-bandar besar, jarang sekali milik Muslim dan Melayu. Muslim dan Melayu lebih banyak memonopoli penempatan-penempatan setinggan dan kos rendah. Itu pun hampir-hampir dipupuskan oleh bekas kerajaan Selangor melalui Kempen Setinggan Sifar. Belum lagi dikira mereka yang berada di pusat pemulihan atau pun segelintir lagi yang masih tidur di bawah jambatan-jambatan dalam keadaan mabuk dan khayal akibat suntikan yang tak bertauliah.

Dari segi politik, hmmm…yang ni saya malas nak komen…tengok ajelah kat dalam tv tu…

Ketiga: Apakah yang telah dibuat oleh UMNO sebagai kerajaan selama 5 dekad ini yang dilihat benar-benar berusaha memartabatkan umat Islam di Malaysia? Hanya segelintir Muslim yang berjaya hidup mewah, sesetengahnya berpendapatan sederhana, dan yang selebihnya terpaksa ‘kais pagi makan petang’! Remaja makin rosak akhlak dan makin ‘lagha’ dalam kelab-kelab malam, hiburan melampau dan siri konsert-konsert yang dianjurkan saban hari, saban bulan, dan saban tahun! Masjid-masjid semakin tak ada yang sudi…

Keempat: Kenapa UMNO menunggu sehingga hilang 4 lagi negeri untuk bermuqabalah dengan PAS? Di zaman Tun Dr. Mahathir dulu, satu muzakarah pernah diadakan di antara bekas ahli dan Presiden UMNO itu dengan bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadhil Noor. Isunya pun tak berkaitan dengan kepentingan umat Islam negara, tetapi melangkau hingga ke Palestin!

Kelima: Apakah wadah yang ingin dicanangkan oleh UMNO untuk memenuhi keperluan muqabalah ini? Adakah Islam Hadhari yang akan dicadangkan bagi menjamin kepentingan dan masa depan Muslim di tanah air kita ini?

Hmmm…saya menjangkakan akan lebih banyak persoalan yang bakal timbul selepas ini. Saya jangkakan keberkesanan muqabalah ini agak tipis, kecuali hasil muqabalah ini membawa kepada PAS mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.  Kalau yang tu, saya amat-amat berlapang dada!

 whereha.wordpress.com

 

Tak habis-habis kemelut liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). 2-3 hari ni kisah yang  tak sahih akan benar atau mitosnya ini asyik diulang-tayang di kaca tv. Polis kata begitu, Anwar kata begini. Polis kata begini, Anwar pula kata begitu. Pening. Siapa yang pening? Rakyatlah! Walaupun orang ramai tahu ia adalah konspirasi, tapi kalau berhari-hari provokasi ini digerakkan, takkan pula tak ada rakyat yang goyah? Sementelah pula pemimpin Pakatan Rakyat yang lain tak ada isu sejak kebelakangan ni, dek tenggeloleh isu liwat yang maha kontroversi ni.

Sekonyong-konyong pulak hari ni terpampang kenyataan Dato’ Ibrahim Ali di laman web malaysiakini.com. (http://malaysiakini.com/news/86443) Beliau mencadangkan Anwar beri kerjasama terhadap siasatan pihak polis. Buat ujian DNA. Panggil doktor peribadi Anwar untuk melihat sendiri proses ujian DNA tersebut. Aik? Gitu pulak Brahim ni. Saya tak lah menyokong atau membangkang cadangan Brahim. Brahim pun bukan calang-calang orangnya. Kalau tak sungguh, takkan dia kata. Cuma dalam hal ni, kedua-dua tindakan yang bakal diambil oleh Anwar ada pro dan kontranya. Ada untung dan ada ruginya.

Andai Anwar beri kerjasama, tampaklah keberanian sejati Anwar. Berani kerana benar, kata Brahim. Dah tentu rakyat akan bersorak gembira kalau ujian DNA itu dapat membuktikan Anwar tak bersalah. Dan pemimpin UMNO pasti resah dan makin bertungkus-lumus mencari idea baru untuk membunuh karier Anwar.

Tapi…kalau betul sampel DNA Anwar dimanipulasi oleh pihak polis? Saya tak nak menuduh polis akan melakukannya. Polis bertindak mengikut arahan ketua kepada polis. Zaman dah berubah, dunia dah maju. Macam-macam boleh dibuat. Siapa lebih pandai dia akan berjaya. Nak-nak pulak kalau ada kuasa.

Kalau Anwar tak buat ujian DNA? Haaa…ni pun susah jugak. Saya keliru. Rakyat pun keliru. Mungkin rakyat tak akan menganggap Anwar benar-benar meliwat. Sebab kes yang dulu pun tak dapat dibuktikan. Tilam yang diusung dulu pun dah ditanam entah di perkuburan yang mana. Tapi tindakan ini tentu mengundang provokasi polis. Tak mustahil lambat-laun Anwar akan kena tangkap juga. Kalau kena tangkap, tak jadi PM le Anwar. Hanya jadi Prisoner of Malaysia ajelah.

Betul jugak kata sepupu saya dan Mufti Perlis. Calon PM yang terbaik buat masa ini ialah Tuan Guru Dato’ Nik Aziz. Bukan nak menidakkan kredibiliti Anwar. Tapi Tuan Guru imejnya lebih sesuai. Tak ada kes, tak ada skandal, tak ada rasuah, tak ada kroni, tak ada liwat. Tak pening kepala. Ulama’ pulak tu. Lebih Islamik. Masyarakat pun lebih senang nak terima. Baik Melayu, Cina mahu pun India.

 whereha.wordpress.com

Bertemu lagi…

Lupakan seketika soal debat. Orang yang berdebat kini dalam tahanan polis. Apakah suratan yang bakal memacu hidup Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) selepas ini, sama sekali menjadi tanda tanya. Di saat kita baru terjaga dari mimpi, apakah yang dilalui oleh DSAI? Di kotak fikiran saya terfikir bermacam-macam persoalan. Kalau berdasarkan jaminan PM Abdullah, tidak akan ada lagi ulangan kejadian mata lebam. Saya agak jaminan tersebut mungkin betul. Harap-harap begitulah!

Aneh sungguh kehidupan berpolitik. Malam sebelumnya berhujah di kaca tv. Hari sesudahnya dalam tahanan polis. Cuma situasinya tidaklah seteruk 1998. Bukan dicekup! Walaupun tidak dicekup, tetapi keadaan DSAI selepas ini tak dapatlah saya ramalkan. Apatah lagi saya bukanlah penganalisis politik. Penganalisis politik pun kadangkala tersilap meramal.

Mungkin keluarga DSAI adalah keluarga yang paling sibuk hari ini. Masa kan tidak, orang yang disayangi berada dalam tahanan polis. Kesnya pula adalah kes luarbiasa. Saya berharap Allah SWT akan mempermudahkan kesulitan yang dialami DSAI dan keluarganya. Bebaskanlah beliau dari tuduhan ini.

Apa-apa pun, perkembangan kes DSAI pastinya akan terus diikuti dengan penuh minat. Harapnya rakyat tidak akan kehilangan salah satu daripada tunjang suara rakyat yang yang mampu membawa suatu gagasan ke arah perubahan Malaysia yang lebih positif pada masa hadapan.

Wallahu’alam.

whereha.wordpress.com


Statistik Blog

  • 23,783 Hits

Kalendar

Julai 2008
I S R K J S A
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog