Blues WhereHa

Archive for Jun 2008

 

Ulasan Video

Kalau la satu hari nanti umat Malaysia hidup lagu ni, macam mana? Saya optimis jika ia menjadi realiti, maka usaha kerajaan menaikkan harga minyak sudah tentu dapat menangani beberapa masalah yang memang telah lama wujud di negara kita. Antaranya ialah:

1. Malaysia berjaya mencapai tahap kemalangan sifar.

2. Mengurangkan kesesakan lalulintas.

3. Menghapuskan gejala Mat Rempit.

4. Tiada lagi masalah kekurangan Parking.

5. Saman Parking, Speed Trap, Lesen Mati, Road Tax dimansuhkan.

6. Kerajaan tak perlu lagi memberi rebat untuk Road Tax kenderaan.

7. Tidak perlu lagi memberi subsidi minyak.

Natijahnya? Tak perlulah saya tuliskan di sini sebab saya optimis anda semua mampu senaraikannya sendiri. Walau apa pun natijah yang anda senaraikan, jika dibandingkan dengan senarai kelebihan kenaikan harga minyak yang saya tuliskan di atas, saya percaya akan wujud lebih banyak kesan buruk jika kisah video di atas menjadi realiti.

Ulasan saya di atas sekadar coret-coretan dan cubit-cubitan.

whereha.wordpress.com 

 

 

Kebetulan saya sedang minum di sebuah restoran. Seorang rakan memberitahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) akan ditangkap. Alasannya disabitkan ke atas tuduhan sodomi. Terkejut besar saya!!! Sodomi lagi? Tak logik pula rasanya.

Lalu saya terus melayari laman-laman blog yang saya kenali. Sebahagiannya masih tidur dan sebahagiannya juga mula menggandakan operasi. Dan kebanyakan blog mula memaparkan sensasi terbaru ini. 

Memang politik Malaysia sekarang dalam keadaan kacau-bilau. Isu Altantuya, kenaikan harga minyak dan barangan asas, peralihan kuasa, dan terbaru tentang pendedahan salah laku yang bakal dibuat oleh DSAI sendiri telah mengundang kepada arahan atasan untuk menangkap dan membenam karier politik DSAI sekali lagi. Seandainya penangkapan DSAI benar-benar jadi kenyataan, ini memang sama sekali tak dapat diterima akal. Haiwan pun pasti kehairanan! Dan kerosakan oleh tangan-tangan manusia pasti sekali lagi menggembirakan agen-agen Iblis dari Neraka!

Seluruh umat Malaysia sedia maklum, DSAI telah lama dibebaskan dari segala tuduhan sodomi. Dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 12, nama DSAI kembali melonjak. Seorang pejuang yang tak pernah mengalah, membulatkan kembali tekadnya untuk menawan hati seluruh rakyat Malaysia ke mercu keadilan sejagat. Wadah perjuangan bersama Pakatan Rakyat yang dibina berjaya menyatukan tiga parti, lima buah negeri, disertai oleh golongan ulama, profesional, marhaen dan kelas bawahan. Tujuannya jelas, menggempur dan menamatkan kezaliman serta menunjangi keadilan. Semuanya untuk umat Malaysia!

Namun lumrah dunia membuktikan perjuangan selalu bergolak. Dan rakaman memori 1998 seakan-akan bakal berulang. Apa yang bermain di fikiran saya, kemungkinan besar kekacauan yang lebih teruk akan berlaku. Sudah tentu usaha menggulingkan DSAI lebih hebat daripada dulu. Kerana kini DSAI kelihatan lebih gagah berbanding sedekad yang lalu.

Umat Malaysia wajib berwaspada. Umat Malaysia wajib bersama-sama memikul cabaran yang baru ini. Amat menyedihkan sekiranya DSAI hanyalah untuk menjadi suara rakyat semata-mata. Saya enggan sekali melihat umat Malaysia bisu sekiranya DSAI dibisukan. Atau mereka membuat taik mata jika DSAI dibutakan.

Sesungguhnya saya amat berharap tiada penangkapan akan berlaku. Dan ia agak mustahil kerana menurut sumber, pihak polis ketika ini sedang berkumpul di Shah Alam bagi melaksanakan arahan menangkap DSAI. Dikhabarkan juga tentang laporan polis yang kononnya dibuat oleh mangsa sodomi DSAI. Sungguh jengkel dan mendukacitakan seandainya ia benar!

Apa balasan kita umat Malaysia terhadap perjuangan dan keringat DSAI? Jikalau hanya sekadar tangisan, penyesalan dan cakap-cakap nista, maka yang tinggal untuk kita tak ubah seperti letupan bunga api di langit malam. Meletup dan hanya asap yang samar-samar kelihatan!

whereha.wordpress.com

 

 

GIMIK MURAHAN: Dari kanan, Loy Sian, Zulkifli, Gopalakrisnan dan Tian Chua berbasikal untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat, semalam.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyelar tindakan empat Ahli Parlimen pembangkang menunggang basikal dari Bank Negara ke Bangunan Parlimen, semalam sebagai membantah kenaikan harga minyak serta menganggap tindakan mereka sebagai gimik murahan dan keanak-anakan.

Beliau berkata, tindakan Ahli Parlimen berkenaan tidak sepadan dengan imej mereka sebagai seorang Ahli Parlimen yang mempunyai ruang luas untuk memberi pandangan dalam Dewan Rakyat.

“Daripada naik basikal, bagilah cadangan lebih baik lagi untuk bantu negara. Yang penting kena cari jalan untuk selesai masalah, bukan untuk buat gimik. Apa yang dilakukan mereka tidak sepadan dengan imej Ahli Parlimen.

 

Komen Saya

Bagi saya, tindakan 4 orang Ahli Parlimen di atas adalah semata-mata untuk memprotes dan mendesak Kerajaan agar menurunkan harga minyak dan memberi lebih subsidi kepada rakyat. Mereka bukan setakat berbasikal ke Parlimen, bahkan sudah tentu berhempas-pulas bercakap mewakili seluruh masyarakat Malaysia di Dewan Rakyat. Kalau sekali pun pak MENTERI kita tu suruh bagi cadangan yang lebih baik untuk bantu negara, saya tak fikir pihak Kerajaan sudi untuk mendengar cadangan mereka, apatah lagi untuk menerima dan melaksanakannya dalam pentadbiran negara. Kalau pun mereka terima dan laksanakan, sudah tentu mereka mendabik dada mengatakan ianya adalah cadangan dan inisiatif daripada kerajaan sendiri.

Memang gambar di atas kelihatan seperti gimik murahan. Tak perlu iklan dan bajet yang mahal-mahal. Tetapi gimik seperti ini lebih telus kerana bukannya tak penat mengayuh basikal ke Parlimen. Titisan peluh dan keringat mereka secara tak langsung menggambarkan jerih-payah dan kesulitan rakyat. Lagipun sekiranya kita merujuk kepada keadaan masa kini, tak mustahil amalan berbasikal ke tempat kerja akan menjadi rutin rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Ataupun mungkin pak MENTERI kita tu lebih gemar buat GIMIK MEWAHAN dengan menaiki Mercedes dan dipandu oleh drebar beliau bagi menggambarkan kehebatan dan imej seorang wakil rakyat yang berprofil tinggi. Mungkin…

Sebelum ini pun kita ada terdengar tentang seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat menunggang motosikal ke Parlimen. Sepatutnya beliau menjadi contoh kepada Ahli Parlimen yang lain. Di kala harga minyak yang meningkat ini, bukankah lebih baik sekiranya wakil-wakil rakyat kita MENGUBAH GAYA HIDUP dengan sesederhana mungkin? Kalau nak rakyat berjimat-cermat, biarlah bersama-sama. Jangan pula ekonomi makin parah, rakyat makin susah, wakil rakyat pula makin mewah! 

Kesimpulannya mudah, saya sebulat suara menyokong penuh gimik murahan Ahli-Ahli Parlimen di atas.

Macam mana pulak dengan anda sekalian? Berikan komen anda!

whereha.wordpress.com

 

 

 

Tak pernah ujud di lipatan sejarah

Umat Malaysia dikerah dan diperah

Berjimat bercatu kerana minyak mentah

Hadiah ‘special’  rejim Abdullah

 

Umat Malaysia dikerah dan diperah

Dengan keringat daging dan darah

Bermandi peluh di tengah sawah

Namun hidup tetap mengah

 

Dengan keringat daging dan darah

Umat Malaysia makan sekali sehari

Meski pun tekak loya nak muntah

Nak isi perut kena fikir dua kali

 

Umat Malaysia makan sekali sehari

Tangki minyak nak isi berkali-kali

Barang dah naik tak turun-turun lagi

Tengah bulan poket dah tak berisi

 

Tangki minyak nak isi berkali-kali

Perut isi hanya sekali sehari

Beras mahal tak mampu nak beli

Padah mengundi membuta tuli

 

Perut isi hanya sekali sehari

Ikat perut setengah mati

Nak jimat duit untuk anak bini

Ogos mungkin minyak naik lagi

 

Ikat perut setengah mati

Selagi BN bertakhta di hati

Umat Malaysia teguh jati diri

Berkat karamah pemimpin Hadhari

 

Selagi BN bertakhta di hati

Umat Malaysia terus terkorban diri

Sampai bila nak terus begini

Pakatan Rakyat cepat-cepatlah ganti!

 

whereha.wordpress.com

 

 

Ada yang menolak-nolak tubuhku dari belakang

Leherku terasa bagai ditarik-tarik ke depan

Kadangkala nafasku sesak

Bila dadaku tersekat-sekat

Bergerak perlahan merencak wacana wahyu

Kadangkala terhumban ke lohong nafsu

Aku dapat menghidu bau yang busuk

Sesekali terasa lemas hidung ini

Tapi sesekali bau yang busuk ada segarnya

Entahlah…hairan pula rasanya

 

Jalan kita selalunya tak rata

Melambung-lambung dan terhoyong-hayang

Kepala otak pun melayang-layang

Tekak loya mabuk kepayang

Tak kusangka ada rintangan besar di depanku

Sangat besar bahkan lebih besar dari Himalaya

 

Kehidupan di kota umpama memampat spring

Makin tangan dimampat makin spring melawan

Sedikit kecuaian spring pasti menendang tangan

Silap haribulan tangan pula yang luka

Sekali parut luka berbekas ia tak mungkin lagi hilang

Malah terus menjadi tatapan dan ingatan kepada empunya badan

Berparut tak semestinya buruk

Teruna berparut kadangkala menjadi pujaan si dara

Tapi selalunya si jelita alah jika terparut

Tafsiran akal sememangnya berbeza-beza

Elok dan buruk jadi siulan

Realiti manusia kota metropolitan

Menilai tak guna garis yang asal

 

Moden menjadi sasaran

Dikejar moden itu siang dan malam

Dapat moden nak yang lagi moden

Apa ada pada moden?

Aku pun tak faham moden itu

Tak pernah pun aku melihat moden

Hanya biasa terdengar dari mulut-mulut

Dan aku pun tak tanya dari mulut-mulut itu

Cuma aku tertangkap-tangkap dan terdengar-dengar

Di mana saja mereka berbicara tentang moden

Sehingga wujud ‘kolot’ di bibir mereka

Lalu kolot mereka pijak dan mereka tertawakan

Mereka pun sebenarnya tak faham

Apa itu moden dan apa itu kolot?

Mereka mahu moden kerana ramai yang moden

Mereka ejek kolot juga kerana ramai yang moden

Mereka tidak akan moden kalau ramai yang kolot

Dan mereka tidak mahu moden jika ramai yang mahu kolot

Nyata sekali mereka hanya terikut-ikut

Dan mereka bukan memilih sendiri

Bahkan mereka langsung tak reti memilih

Seolah-olah mereka bersekolah

Semuanya telah disukat dan diajar

Andainya tiada pengajar

Mampukah mereka belajar sendiri?

Tidak…kerana orang lain belajar

Maka mereka turut belajar

Mereka sebenarnya hanya terikut-ikut

 

Kota metropolis

Memang ramai yang terikut-ikut

Selalunya yang terikut-ikut banyak natijah

Banyak bahana dan banyak bencana

Pun begitu tak ramai yang sedar

Kerana mereka terikut-ikut

Bilakah mereka akan memilih sendiri?

Ramai yang memilih jalan hidup sendiri

Tapi selalunya jalan hidup yang sama seperti yang lain

Jalan hidup yang sememangnya telah banyak dijalani

Jalan hidup yang telah banyak wujud di celah kota

 

whereha.wordpress.com


Statistik Blog

  • 23,783 Hits

Kalendar

Jun 2008
I S R K J S A
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Klik Terakhir

  • Tiada

Arkib Blog